Sunday, 6 March 2016

Dia tercipta untukku

DIA  
Ina tersenyum sahaja apabila nama pujaan hatinya disebut. Biarpun tidak mampu mendapatnya, sekadar mendengar nama pun hatinya sudah berbunga bahagia.
Cinta baginya sukar di ungkap, cukuplah di simpan di dalam hati sahaja. Siapakah jejaka yang bertakhta di hati ini itu? Jejaka berduri kerana sudah dimiliki tetapi kerana perwatakannya seorang lelaki yang matang dan mampu menangani masalah membuatkan hati Ina cair.
“Ina,tadi kami nampak abi,” terkekek-kekek Ain sambil memandang muka Ina yang sudah berubah.
“Mana, tak nampak pun,” sambil mata Ina melilau mencari kelibat yang dipanggil abi oleh Ain tadi.
“Ala,,,tu tadi terserempak ketika dalam lif. Nampak macho betul kan dia,” sengaja Ain menggoncang hati Ina yang tidak keruan sejak akhir-akhir ini.
Maria sudah mula ketawa tanpa henti. Memang terkenal di kalangan pejabat, Maria ini kalau sudah mula susah sangat mahu berhenti. Tapi gelagatnya menghiburkan kami semua. Kalau tiada gelak ketawa di pejabat, mesti ada sesuatu yang berlaku samada Maria cuti sakit ataupun merajuk dengan tunangnya.
Lelaki yang menjadi pujaan hati Ina itu bernama Redzuan. Orang sudah berumur pertengahan 40an, segak bergaya, mempunyai kumis yang nipis, tinggi dan berbadan nipis sahaja. Dia sudah mempunyai seorang isteri yang cantik dan sepasang cahayamata yang sudah bersekolah. Namun karismanya mampu membuatkan ramai wanita di luar sana jatuh cinta padanya.
Ina hanya mencintainya dalam diam, sudah lima tahun dia menyimpan perasaan itu, terbuai-buai perasaan itu sekali sekala sahaja. Apabila dia muncul di pejabat sebelah hatinya terpaut tetapi kalau dia lama tidak muncul kenangan itu bertebaran sama. Namun sekarang ini kerap pula dia menjadi penghuni di pejabat sebelah menyebabkan hatinya sentiasa berkocak kencang setiap kali bersua. Tambahan pula kalau dia menghadiahkan senyuman buat semua orang.
Suatu hari ketika Ina berpapasan dengan dia pujaan hatinya, Ina disapa olehnya. Hati ini tidak keruan bagaikan sedang berlari jarak jauh dup dap yang tidak berhenti. Seharian Ina senyum dan tersengih seorang. Daripada itu bermula episod hidupnya.
Suati hari itu Ina terkejut apabila menerima seorang tetamu, wanita di awal usia 40an. Apabila dia memperkenalkan dirinya sebagai isteri dia, Ina lagi terkejut. Ina tidak keruan, adakah dia akan menikam Ina kerana cuba merampas suaminya? Adakah dia datang untuk memberi amaran pada Ina? Tapi seingat Ina, dia tidak ada apa-apa hubungan dengan dia, sekadar bertegur sapa sahaja jika bertembung.
Nyata hajat isterinya membuatkan Ina lagi tidak keruan. Permintaannya sangat pelik, bayangkan seorang isteri datang meminang untuk suaminya. Ina terfikir, isteri dia ni betul ke tidak. Sememangnya jawapan yang Ina mahu bagi ialah ‘ya’, tetapi dia harus menjaga perasaan semua orang. Apatah lagi umi Ina seorang yang penentang poligami. Bagaimana mahu harus Ina sampaikan pada umi. Apatah lagi dia adalah pujaan hati Ina. Cuma satu lagi halangannya, dia bukan sekampung dengan Ina. Itu juga halangan utama keluarga Ina. Banyaklah halangan yang Ina nampak di depan matanya.
Sudah dua minggu selepas kejadian itu Ina tidak nampak kelibat dia di pejabat sebelah. Segan pula mahu bertanyakan Khairil, Muna ataupun Aini. Nanti dikatakan perempuan gedik yang terhegeh-hegeh. Ina mula resah, hatinya sudah tawar. Segala gelak ketawa yang di buat oleh Maria tidak mampu menghiburkan dia lagi. Makan tidak lalu, mandi tidak basah dan tidur tidak lena.
“Aini, bagaimana dengan isteri Encik Redzuan?” Tanya Rizan di dalam lif dan telah membuatkan Ina tersentak. Itulah punca kenapa Ina tidak nampak kelibat dia lagi. Isterinya sedang bertarung dengan penyakit kanser. Dan adakah dengan itu juga isteri dia datang meminang Ina kerana dia sudah menjangkakan bahawa dia akan pergi tidak lama lagi. Bagaimana harus Ina lakukan, Ina tidak pernah berbincang dengan sesiapa pun tentang hajat isteri dia. Dia pun tidak pernah menghubungi Ina.
Ina cuba mencari nombor telefon dia dan cuba menghantar pesanan ringkas bertanya khabar tentang isterinya. Itupun selepas lama Ina berfikir samada wajar ataupun tidak di saat isteri dia memerlukan dia berada di sisinya.
Selepas beberapa hari Ina mendapat pesanan daripada dia yang menyatakan isterinya tengah nazak. Ina hanya mendoakan supaya semuanya selamat. Ina mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja bukan tidak simpati tetapi tidak wajar dan sesuai di waktu ini mengambil kesempatan.
Selang beberapa minggu kemudian selepas menerima berita lewat dua hari bahawa isteri dia telah kembali kepada pencipta kita, Ina menerima sepucuk surat bercop daripada negeri sebelah. Surat yang ditulis tangan oleh isteri dia, masih lagi tidak berputus asa untuk meminang Ina untuk suaminya. Ina sangat terkejut selepas menerima surat tersebut. Ina tanpa berfikir panjang mengambil cuti kecemasan dan kembali ke kampung berjumpa dengan umi dan abi. Ina rela menerima apa sahaja keputusan keluarganya.
Ina tersenyum girang apabila keluarganya tidak mempunyai halangan dan menganggap semua itu adalah wasiat yang perlu ditunaikan cuma umi bimbang tentang penerimaan anak tiri Ina. Ina mengucap syukur kerana semua ini di permudahkan dan diterima. Rasa macam tidak percaya sahaja.
Selepas enam bulan kematian isteri dia, Ina disatukan dengan jejaka macho yang Ina idamkan selama ini. Majlis berjalan secara sederhana dan anak-anak dia boleh menerima pengganti ibu mereka.
Terima kasih Allah kerana memberikan cinta itu dan menyatukan cinta itu.





No comments:

Post a Comment