Monday, 7 March 2016

KEPASTIAN


“Assalamualaikum  ustazah Aishah,” sapa seorang perempuan di awal 40an setelah Aishah menolak pintu pejabatnya.
“Waalaikumussalam,” jawab Aishah sambil mempersilakan perempuan tersebut duduk.
“Saya ibu kepada Nurul Amalina, pelajar ustazah pengajian Islam. Panggil saya Puan Marina,” Puan Marina memperkenalkan diri. Wajahnya agak tegang menyebabkan Aishah merasa getar.
“Saya sebenarnya datang dari jauh inginkan kepastian. Betul ke Nurul Amalina gagal dalam kerja kursusnya?” Soal Puan Marina tanpa bertangguh bagi menyatakan hajatnya.
“Dia tidak datang untuk buat hafazan. Hafazan tu hanya doa-doa yang biasa kita amalkan dalam kehidupan seharian kita,” jawab Aishah jujur.
“Itu hanya 10 peratus sahaja kan?” Duga Puan Marina, riak ketidakpuasan hati masih jelas tergambar.
“Ya dan dia gagal untuk membuat persembahan drama seperti yang dirancang. Walaupun saya sudah bagi alternatif tetapi disebabkan dia tidak menyatakan kenapa dia gagal hadir, markah perlu ditolak untuk keadilan kepada semua. Projek Dakwah Jalanan pun dia buat ala kadar sahaja, kawan-kawannya menilainya rendah kerana dia tidak memberikan kerjasama. Apabila dicampur semua markah, banyak markah yang hilang,” penjelasan Aishah yang sedikit tegas.
“Saya bayar berbelas-belas ribu untuk dia belajar dan dia gagal dalam subjek pengajian Islam. Sedangkan saya dan ayah dia memberikan pendidikan yang cukup sempurna untuk dia,” balas Puan Marina tanda protes lagi.
“Puan, saya tidak pernah terdetik untuk gagalkan pelajar saya semua. Tapi apabila mereka tidak melakukan tugasan yang diberikan dengan sebaik mungkin, apa lagi yang saya boleh bantu,” getaran suara Aishah kedengaran. Agak susah menerima alasan yang diberikan dan perlu mempertahankan prinsip hidupnya. Tidak ada pensyarah yang gembira melihat pelajarnya gagal. Kegagalan pelajar adalah kegagalan pensyarahnya juga.
“Puan, dia berpeluang untuk lulus lagi kerana kerja kursus itu hanyalah 70 peratus sahaja. Dia masih berpeluang sebanyak 30 peratus,” terang Aishah.
“Tapi 30 peratus tu sedikit sahaja, sedangkan yang 70 peratus pun dia boleh gagal,” Nada kecewa masih lagi kedengaran.
“Puan jangan bimbang. Doakan semoga dia berjaya,” bicara penutup perbualan kami.


No comments:

Post a Comment