Sunday, 22 January 2017

Pergilah mimpi


Saat ini aku masih lagi berteleku merenung mimpi semalam yang hadir setelah beberapa episod berlalu. Fikiranku sedikit kacau tika ini. Cepat aku membuang keluh dan berlalu ke bilik air mengambil wuduk dan mengalunkan beberapa baris ayat suci al-Quran. Tidak sempat aku habiskan surah al-Mulk, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Pantas aku mencapainya dan menekan butang hijau.
“Sal….kau menangis lagi ker?” sayup suara Farah dihujung telefon kedengaran.
“Entahlah, tiba-tiba aku rasa sebak sahaja. Aku sendiri tidak tahu mengapa dan usah ditanya ye,” jelasku pendek, keliru dengan perasaan sendiri.
“Sal, tujuan aku telefon ini disebabkan mahu mengajak kau hadir majlis reunion universiti kita pada hujung minggu ini,” Farah mengharapkan jawapan yang diterima adalah positif.
“Aku rasa malas lah,” seperti biasa aku akan mengelak diri.
“Sudah lebih setengah tahun kau tidak mahu berjumpa sesiapa. Rasanya sudah tiba masanya kau keluar dan cuba apa tu, orang putih kata …move on,” Farah tergelak kecil cuba menghiburkanku.
“Aku belum ada kekuatan,” cuba mencari pelbagai alasan supaya tiada lagi pujukan ataupun desakan.
Telefon dimatikan setelah Farah gagal memujukku dan aku dapat rasakan sekejap lagi pelbagai mesej samada daripada whatsapp ataupun messenger akan menyinggahi kotak pesanan tersebut. Rimas pulak aku tetapi apabila difikirkan aku bertuah kerana mempunyai rakan yang sentiasa mengambil berat tentang diriku ini.
Hidupku menjadi sepi setelah aku kehilangan orang yang aku sayang setelah lima tahun kami bersama. Allah hanya pinjamkan dia seketika cuma buatku. Pemergian suamiku secara mengejut membuatkan aku terpana dan rasa dunia bagaikan gelap. Pada mulanya aku hampir kalah dengan pujukan syaitan yang meletakkan kesalahan pada dunia yang tidak adil kerana mengambil nyawa dia dan zuriatku. Siang malam aku bertemankan airmata, tiada sinar rasanya. Siang dan malam tidak ada erti buatku dan tiada beza buatku. Nanar aku mencari diri dengan rapuhnya iman.
Setelah beberapa minggu aku mengemas rumahku, aku terjumpa diari arwah suamiku. Di dalam itu dia menitipkan kata-kata pembina semangat buat aku yang masih lagi bernyawa. Di situ aku mendapat kekuatan, setiap hari aku aturkan hidup dengan membaca kata-kata dalam diari tersebut. Seolah dia tahu yang dia akan meninggalkan aku keseorangan terlebih dahulu.
“Bersabarlah ketika sayapmu patah dan sekali lagi berjuanglah agar kamu dapat terbang jauh lebih tinggi dari sebelumnya.”
“Jangan pernah ragu bahawa Tuhan akan selalu memberikan yang terbaik untukmu, meski terkadang kamu harus merasakan sakit.”
“Jangan pernah biarkan apa yang telah terjadi di masa lalu merosakkan apa yang telah menunggumu di masa hadapan.”
“Jangan takut akan perubahan, kita mungin kehilangan sesuatu yang baik, namun kita akan peroleh sesuatu yang lebih baik lagi.”
“Disebalik setiap kesedihan terdapat kebahagiaan. Serahkan segala urusan kepada Tuhan, biarkan waktu dan kehidupan berjalan.”
“Pertolongan Allah mungkin datang tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat tetapi ianya selalu datang di saat yang ditepati.”
Aku menerima pesanan daripada Farah mengajak aku berjumpa dia dan beberapa rakan yang lain di Warong Kak Chek yang katanya nasinya berhantu, sekali cuba akan datang  berkali-kali. Mahu menghiburkan aku dengan lawaknya. Aku membalasnya ya dan membuatkan dia terus menelefon aku, cuba yakinkan dirinya yang akhirnya aku boleh sudah boleh melangkah ke hadapan.
Image result for pergilah mimpi


No comments:

Post a Comment