"Miss Natalie ni mesra ataupun tidak?" Tanya seorang pelajar baru yang agak mengejutkan Natalie. Terkejut apabila ditanyakan tiba-tiba dan keberaniannya bertanyakan sedemikian.
"Miss, kawan saya beritahu bahawa Miss ni garang," seorang lagi kawannya memberitahu dengan nada yang rendah, bimbang Miss Natalie melenting tiba-tiba.
Balik daripada kelas, Miss Natalie mengambil cermin merenung diri, teruk sangatkah dia, garangkah dia? Tidak mesra sangat ke dia dengan pelajar dia? Sedangkan ada segelintir sampai sekarang masih bertegur sapa dengan dia, menyambung hubungan dalam facebook, twitter dan instagram. Natalie tersenyum sendiri, bukan bangga tetapi cuba mengambil pendekatan seterusnya, strategi mengubah diri.
"Naim, aku ni teruk sangat ker?" Natalie bertanya pada rakan sekerjanya.
"Aku ada juga mendengar dari beberapa pelajar yang menyatakan sedemikian," Fadzli menyampuk apabila melihat Natalie seakan keresahan.
"Apa yang patut aku lakukan?" Tanya Natalie sambil membetulkan tudungnya yang senget.
"Buat macam biasa sahaja, Kita kena ada karekter kita sendiri. Biar pelajar tahu," Fadzli menyambung lagi sedangkan Naim berkerut dahinya mungkin sedang memikirkan sesuatu ataupun menyusun ayat.
"Kita ni kena tegas bertempat, adakalanya kita boleh menjadi kawan rapatnya, kita kena cipta jurang antara mereka supaya mereka tetap hormat pada kita. Kitakan pelakon terhebat terutama dengan budak hingusan lagi, kena pandai ambil hati mereka supaya mereka ni berminat datang ke kelas kita dan mengikuti kelas kita sampai habis," akhirnya Naim mengemukakan pendapatnya.
"Aku paling pantang kalau pelajar datang lambat dan hantar lambat tugasan yang diberikan," Natalie cuba mempertahankan prinsip yang diamalkan.
"Kitakan kena ikut zaman sekarang ni, zaman abad ke 21 cuba memahami remaja generasi Y sekarang ni," Naim menambah lagi
Itulah yang Natalie suka, Naim dan Fadzli selalu memberikan pendapat dan sentiasa bersama susah senang bersama.
Sunday, 13 March 2016
Tuesday, 8 March 2016
Derita ini
Surat ini aku tulis buat saya
baik ku Nora.
Sakitnya membahang terasa
bagaikan dicucuk-cucuk apabila menahan getaran ini. Bagaimana mahu aku lakukan
jika pagar berduri mahu aku rempuhi. Sudah aku jangkakan bahawa sakitnya
terkena duri dan tajamnya ia.
Sekuat aku mencuba melupakan
kenangan lalu tetapi kenapa aku tidak sanggup. Adakah waktu yang tidak berpihak
ataupun ini jalan yang terbaik. Puas aku mencari alasan supaya luka itu tidak
makin parah tetapi aku semakin terluka.
Naluriku mendesakku untuk terus
dibuai mimpi walaupun ia amat menyakitkan aku. Mengapa semua ini terjadi, tidak
pernah terdetik aku memintanya datang. Mengapa? Aku masih mempersoalkannya.
Adakalanya aku kalah dengan ujian ini, aku tidak sekuatmu Nora. Aku lemah
terutama apabila kau tiada di sisiku.
Sememangnya aku mempuyai prinsip
untuk tidak mahu meruntuhkan istana yang dibina. Tapi bagaimana dengan istana
impianku, hanya kaca berderai sahaja ker? Walaupun banyak pentunjuk diberikan
tetapi kenapa aku gagal menerimanya. Kenapa aku enggan beranjak sehingga
sakitnya kepedihan bagaikan sembilu menghiris, bagaikan pisau menikam, bagaikan
duri mencucuk, aku tetap bertahan demi sebuah ikatan yang tidak tergambar.
Haruskan aku akhiri dan
tanggalkan semua hiba ini? Sekali lagi aku persoalkan diri ini. Mengapa jalan
ini yang aku pilih sedang aku ketahui penuh onak duri yang bisa melukakan hati
ini.
Aku bagaikan kehilangan arah
sejak dua menjak ini, Adakalanya terdetik rasa pilu apabila melihat kebahagiaan
rakan-rakan. Aku cuba mengerti hikmah di sebuah perpisahan dan takdir yang
tercipta tetapi aku sengaja melontarkannya.
Banyak yang nikmat Allah telah
berikan padaku, cuma sebuah cinta murni belum lagi diputikkan untukku, dan aku
tidak pernah mengecapinya lagi hingga saat dan detik ini. Mungkin ini hikmat
supaya aku memburu cinta kepada Pencipta kita ini.
Aku harus meninggalkan mu yang
sememangnya tidak ditakdirkan bersama
Sakitnya….
Monday, 7 March 2016
CAMPUR
“Eh betul ke Amy dengan Vemal?” Tanya Lya kepada Hanim
sambil menunjukkan IG Amy.
“Biar betul,” Hanim terkejut melihatnya.
“Tapi Amy tu keluarga campur memang dah terbiasa rasanya,”
Lya menunjukkan gambar-gambar yang lain.
“Tapi mereka berdua macam secocok sahaja,” akhirnya Hanim
mengangguk tanda setuju dengan hubungan mereka berdua.
“Cuma…..,” ayat itu tergantung dan masing-masing mengerti
apa yang ingin dinyatakan.
Hanim mendoakan semoga tidak ada yang terpesong . Dan
sepatutnya Hanim Nampak satu jalan iaitu mendakwah supaya mereka berdua kembali
kepada pencipta mereka berdua.
KEBIMBANGAN
“Fara, kenapa Fatin menangis?”
Soal mentor Fara iaitu Cik Nurul Jannah.
“Er…er….,” teragak-agak Fara
serba salah tergambar di wajahnya. Dia menjungkit bahunya tanda tidak tahu.
“Fatin…..awak ada masalah ker?”
Cik Jannah cuba memulakan perbualan.
“Saya ada masalah keluarga Cik
Jannah,” beritahu Fatin setelah menyapu airmatanya yang mengalir laju.
“Ibu bapa saya Nampak sahaja
macam tidak berpisah tetapi sebenarnya mereka tidak tinggal sebilik lagi.
Mereka tidak bercerai disebabkan kami berdua,” luah Fatin teragak-agak.
“Kenapa jadi macam tu?” Tanya Cik
Jannah.
“Entahlah…saya pun tidak tahu
punca sebenarnya. Tapi ia menganggu pembelajaran saya. Adik saya pun sama,
selalu keluar daripada rumah cuba mencari hiburan disebabkan serabut apabila ibu
dan bapa saya ada di rumah. Mereka selalu bergaduh, kadang kala hal-hal yang
kecil sahaja,” sedu sedan Fatin bercerita.
“Mereka pergi ke pejabat agama
tak? Kaunseling ker?” Cik Jannah cuba mengatur ayat supaya tidak mengguris hati
Fatin.
“Saya tidak dibenarkan masuk
campur dalam hal mereka. Saya akan dimarahi oleh mereka,” Fatin menyeka
airmatanya yang semakin laju.
“Cik Jannah….saya juga mengalami
masalah kewangan ini. Masing-masing mengharapkan untuk membayar yuran saya dan
mereka juga berbalah pasal ini. Sampai sekarang saya sudah berhutang sebanyak
RM3000 lebih. Saya risau jika saya tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir
nanti,” nada suaranya makin lemah, tenggelam timbul.
Selepas beberapa minggu, Cik
Jannah mendapat aduan daripada rakan-rakannya menyatakan bahawa Fatin Nabila
tidak datang kelas dan tidak mengambil beberapa ujian. Khabarnya dia tidak
dapat dihubungi.
Cik Jannah berusaha menjejaki
tempat tinggal Fatin berpandukan alamat yang pernah diberikan kepada mentor
dalam borang biodata. Cik Jannah berjaya menjejaki rumah tersebut tetapi tiada
penghuni di dalamnya. Bertanyakan jiran-jirannya semuanya tidak mengetahui. Cik
Jannah juga gagal menghubungi nombor telefon ibu ataupun bapa Fatin. Pelbagai
persoalan yang menjengah minda.
Setelah beberapa hari mencari
Fatin dengan bantuan rakan-rakan Fatin dan beberapa pensyarah yang lain,
akhirnya diketemui jawapan tersebut. Nenek sebelah ayah Fatin sakit dan mereka
bergegas balik kampong sehingga terlupa untuk memberitahu jiran dan rakan terdekat.
Peristiwa itu adalah hikmah terbesar dalam keluarga Fatin apabila keluarga
tersebut bersatu kembali.
KEPASTIAN
“Assalamualaikum ustazah Aishah,” sapa seorang perempuan di
awal 40an setelah Aishah menolak pintu pejabatnya.
“Waalaikumussalam,” jawab Aishah
sambil mempersilakan perempuan tersebut duduk.
“Saya ibu kepada Nurul Amalina,
pelajar ustazah pengajian Islam. Panggil saya Puan Marina,” Puan Marina
memperkenalkan diri. Wajahnya agak tegang menyebabkan Aishah merasa getar.
“Saya sebenarnya datang dari jauh
inginkan kepastian. Betul ke Nurul Amalina gagal dalam kerja kursusnya?” Soal
Puan Marina tanpa bertangguh bagi menyatakan hajatnya.
“Dia tidak datang untuk buat
hafazan. Hafazan tu hanya doa-doa yang biasa kita amalkan dalam kehidupan
seharian kita,” jawab Aishah jujur.
“Itu hanya 10 peratus sahaja
kan?” Duga Puan Marina, riak ketidakpuasan hati masih jelas tergambar.
“Ya dan dia gagal untuk membuat
persembahan drama seperti yang dirancang. Walaupun saya sudah bagi alternatif
tetapi disebabkan dia tidak menyatakan kenapa dia gagal hadir, markah perlu
ditolak untuk keadilan kepada semua. Projek Dakwah Jalanan pun dia buat ala
kadar sahaja, kawan-kawannya menilainya rendah kerana dia tidak memberikan
kerjasama. Apabila dicampur semua markah, banyak markah yang hilang,”
penjelasan Aishah yang sedikit tegas.
“Saya bayar berbelas-belas ribu
untuk dia belajar dan dia gagal dalam subjek pengajian Islam. Sedangkan saya
dan ayah dia memberikan pendidikan yang cukup sempurna untuk dia,” balas Puan
Marina tanda protes lagi.
“Puan, saya tidak pernah terdetik
untuk gagalkan pelajar saya semua. Tapi apabila mereka tidak melakukan tugasan
yang diberikan dengan sebaik mungkin, apa lagi yang saya boleh bantu,” getaran
suara Aishah kedengaran. Agak susah menerima alasan yang diberikan dan perlu
mempertahankan prinsip hidupnya. Tidak ada pensyarah yang gembira melihat
pelajarnya gagal. Kegagalan pelajar adalah kegagalan pensyarahnya juga.
“Puan, dia berpeluang untuk lulus
lagi kerana kerja kursus itu hanyalah 70 peratus sahaja. Dia masih berpeluang
sebanyak 30 peratus,” terang Aishah.
“Tapi 30 peratus tu sedikit sahaja,
sedangkan yang 70 peratus pun dia boleh gagal,” Nada kecewa masih lagi
kedengaran.
“Puan jangan bimbang. Doakan
semoga dia berjaya,” bicara penutup perbualan kami.
Sunday, 6 March 2016
JODOH
“Pelik betul la awak ni Maya. Tak
pernah saya jumpa orang macam ni, “ tegur Suhana kepada kawannya Maya yang
terlalu minat yang mendalam kepada satu kumpulan Pop Jepun yang tidaklah
popular mana di Jepun.
“Ye lah, sampai boleh hafal lagu
dan semua benda yang berkaitan dengan kumpulan tu, Maya ada. Ini pertama kali
saya jumpa perangai macam ni,” tambah Rohani menyokong apa yang diperkatakan
oleh Suhana.
“Ala…biarlah saya tak kacau
orang,” jawab Maya sambil mulutnya menyanyi mengikut lagu kegemarannya.
Setiap hari datang kerja, Maya
tidak pernah melepaskan peluang menonton konsert kumpulan kegemarannya itu. Dia
juga mempunyai kumpulan whatsapp berbincang tentang lagu baru dan apa sahaja
aktiviti kumpulan tersebut. Maya mempunyai koleksi CD atau DVD kumpulan
tersebut.
“Eh…tu lagu apa tu? Tanya Maya
kepada Hairul yang sedang khusyuk mendengar lagu popular yang dimainkan oleh
Hairul setiap petang.
“Lagu ni awak tak tahu?” Wajah
Rohani berkerut kerana lagu itu adalah lagu popular setelah demam Bollywood kembali
bertapak di Malaysia gara-gara kemunculan kembali Shah Rukh Khan dan Kajol.
Betapa kegilaan Maya kepada Pop Jepun menyebabkan dia tidak menghiraukan dunia
lain.
“Ju, Su dan Kak Ha, saya kan
kalau nak kahwin, saya nak macam ahli kumpulan tu,” angan-angan Maya.
Kami semua tersenyum sahaja
maklumlah kami sudah agak bagaimana citarasa dia terhadap lelaki. Ju bagitahu
bahawa dia sebenarnya putus cinta sebelum ini. Teman lelaki dia sebelum ini
adalah lebih kurang dengan pemuda Pop Jepun iaitu Takuya Kimura ataupun Kimutaku.
Tapi jodoh mereka tidak kesampaian kerana ada beberapa masalah keluarga yang
tidak dapat di elakkan.
“Maya, ada orang nak kenal dengan
awak, orang Jepun,” duga Julia suatu hari sambil tersenyum-senyum.
“Ye ker? Mana? Siapa nama dia?
Islam ker?” banyak pula soalan yang ditanya oleh Maya sambil tergelak kecil.
“Serius ni,” Julia cuba bersuara
tegas. Suhana dan Rohani hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua.
Layankan sahaja feel mereka yang semakin menjadi sekarang ini.
“Assalamualaikum! Boleh saya
bertanya? Saya sedang mencari kedai membuat kunci pintu tapi tak jumpa. Ada tak
kat Giant ni sebenarnya?” Pemuda yang tidak dikenali bertanyakan soalan
tersebut kepada Suhana.
“Waalaikumussalam. Ada
sebenarnya, di hujung sana sebelah KFC dan berhadapan dengan kedai buku second
hand,” laju sahaja Maya membalasnya sambil tangannya menunjukkan arahnya.
“Err….terima kasih,” teragak-agak
mengucapkan perkataan tersebut kerana mungkin dia tidak menjangkakan bahawa
Maya akan membalas pertanyaannya. Mungkin dia melihat Maya dan Julia sibuk
bercerita tadi.
“Ju….carilah seorang lelaki macam
Kimutaku tu. Maya ingat nak kahwin tahun ni la. Jeles jugak tengok ramai
kawan-kawan universiti sudah berumahtangga,” Maya meluahkan perasaannya.
“La…ingatkan tak nak kawin,”
Rohani mengusiknya
“Ye la…siang malam asyik dok
berkepit dengan Kimutaku. Dan bersedia nak melepaskan dia ker?” Suhana pula
menyambungnya.
“Tapi saya nak pastikan lelaki
a.k.a bakal suami saya ni orang yang bersetuju dengan minat saya dan tidak akan
menghalang saya daripada minat dengan Pop Jepun ni,”
“Ala ......kalau dah ada suami, Kimutaku
tu ke laut lah,”
“Tak…saya tetap setia padanya.” Kata-katanya
disambut dengan gelak ketawa oleh semua.
Ketika kami semua keluar di
tempat meletak kereta, kami disapa lagi oleh pemuda tadi. Orangnya tinggi
kurus, kulitnya putih, matanya agak sepet dan rambutnya beralun sedikit hampir
menutupi dahinya yang luas.
“Maaf boleh saya bertanya lagi?
Saya masih baru di sini?” ujar pemuda tadi tanpa segan.
Kami berempat memandang sahaja
dengan penuh keraguan, maklumlah sekarang ini banyak pula kedengaran cerita
yang kurang menarik.
“Boleh saya dapatkan nombor
telefon saudari,” pemuda itu bersuara sambil menunjukkan tangannya kepada Maya.
Kami semua terkejut dengan keberaniannya.
“Untuk apa ye?” Berani pula Maya
bersuara dengan nada seriusnya.
“Saya ingin berkenalan dengan
lebih lanjut.” Pemuda tersebut menghulurkan kad perniagaannya.
“Maaf saya tidak berminat.” Ayat penamat
dan menyebabkan kami semua terkejar-kejar mengikut Maya yang bergerak pantas.
Selang beberapa hari kemudian,
Maya menerima emel daripada orang yang tidak dikenali dan Maya mengabaikannya.
“Maya, orang tu ada hubungi tak?”
Su bertanyakan semasa berbual petang sambil menghirup air kopi yang dibuat oleh
Julia.
“Macam mana dia nak hubungi akak
oooiii kalau orang tu jual mahal,” Julia menjawab laju sahaja.
“Tapi kan Maya, akak tengok muka
dia ada iras-iras Kimutaku la,” Rohani cuba mengacah
“Maya, ada panggilan telefon
daripada Info Centre,” laung Sharmini
Selepas menerima panggilan
telefon bergegas Maya turun ke tingkat satu untuk mengambil bungkusan yang
dikirimkan oleh orang misteri.
“Maya beli apa tu?” Tegur Suhana
apabila melihat Maya sedang mengelek bungkusan kecil.
“Entahlah kak, siapalah
pengirimnya. Boleh pula tidak letak nama. Bagaimana mahu saya ucapkan terima
kasih,” Maya cuba menutupi kegugupan apabila menerima hadiah misteri. Nak kata surprise
birthday, lambat lagi hari lahirnya.
“CD Takuya Kimura.” Maya memegang
CD tersebut sambil mukanya berkerut memikirkan siapa yang cuba membuat kejutan.
“Mesti Kak Haira ataupun Abang
Madi ni,” teka Maya sambil menekan telefon bimbitnya menghantar Whatsapp
bertanyakan mereka berdua.
“Ju, Su dan Kak Ha, Kak Haira dan
Abang Madi kata mereka tidak pernah menghantar CD ni. Agak-agak siapa ye?” Maya
cuba menyelesaikan misteri penghantar CD.
“Maya ada peminat misteri. Entah-entah
pemuda tempohari,” Suhana cuba menyelesaikan masalah tersebut.
“Takkan saya nak hantar mesej
tanyakkan, eh awak ke yang hantar CD,” Maya bersungut sambil tangannya lincah
menaip tugasan yang diberikan.
Penghantar misteri itu masih
tidak terjawab sehinggalah seminggu kemudian barulah Maya membuka cerita
kembali.
“Kak Ha, tahu tak siapa
penghantar CD tu?” Maya berbisik sahaja risau heboh satu pejabat nanti.
“Siapa?” Kak Ha tidak sabar
mengetahui jawapannya.
“Dia sebenarnya ada menghantar
emel pada Maya bertanyakan tentang itu tetapi emel tu masuk dalam spam.
Mujurlah Allah gerakkan hati Maya ini untuk
tengok yang spam sebelum delete tadi. Rupanya pemuda tempohari yang
hantar CD tu.” Terlerai misteri tersebut.
Bagaimana pemuda a.k.a. Asyraf
mengetahui minat yang mendalam Maya. Sebenarnya masa kami makan tempohari, dia
terdengar perbualan kami dan dia juga merupakan peminat Takuya Kimura kerana
dia pernah belajar di Jepun. Dia seorang jurutera di sebuah syarikat terkenal. Dia
sememangnya mencari calon isteri yang mempunyai minat yang sama. Disebabkan itulah
dia tidak teragak-agak mahu berkenalan dengan Maya kerana dia merasakan itulah
petunjuk daripada Allah SWT.
Dia tercipta untukku
DIA
Ina tersenyum sahaja apabila nama
pujaan hatinya disebut. Biarpun tidak mampu mendapatnya, sekadar mendengar nama
pun hatinya sudah berbunga bahagia.
Cinta baginya sukar di ungkap,
cukuplah di simpan di dalam hati sahaja. Siapakah jejaka yang bertakhta di hati
ini itu? Jejaka berduri kerana sudah dimiliki tetapi kerana perwatakannya
seorang lelaki yang matang dan mampu menangani masalah membuatkan hati Ina
cair.
“Ina,tadi kami nampak abi,”
terkekek-kekek Ain sambil memandang muka Ina yang sudah berubah.
“Mana, tak nampak pun,” sambil
mata Ina melilau mencari kelibat yang dipanggil abi oleh Ain tadi.
“Ala,,,tu tadi terserempak ketika
dalam lif. Nampak macho betul kan dia,” sengaja Ain menggoncang hati Ina yang
tidak keruan sejak akhir-akhir ini.
Maria sudah mula ketawa tanpa
henti. Memang terkenal di kalangan pejabat, Maria ini kalau sudah mula susah
sangat mahu berhenti. Tapi gelagatnya menghiburkan kami semua. Kalau tiada
gelak ketawa di pejabat, mesti ada sesuatu yang berlaku samada Maria cuti sakit
ataupun merajuk dengan tunangnya.
Lelaki yang menjadi pujaan hati
Ina itu bernama Redzuan. Orang sudah berumur pertengahan 40an, segak bergaya,
mempunyai kumis yang nipis, tinggi dan berbadan nipis sahaja. Dia sudah
mempunyai seorang isteri yang cantik dan sepasang cahayamata yang sudah
bersekolah. Namun karismanya mampu membuatkan ramai wanita di luar sana jatuh
cinta padanya.
Ina hanya mencintainya dalam
diam, sudah lima tahun dia menyimpan perasaan itu, terbuai-buai perasaan itu
sekali sekala sahaja. Apabila dia muncul di pejabat sebelah hatinya terpaut
tetapi kalau dia lama tidak muncul kenangan itu bertebaran sama. Namun sekarang
ini kerap pula dia menjadi penghuni di pejabat sebelah menyebabkan hatinya
sentiasa berkocak kencang setiap kali bersua. Tambahan pula kalau dia
menghadiahkan senyuman buat semua orang.
Suatu hari ketika Ina berpapasan
dengan dia pujaan hatinya, Ina disapa olehnya. Hati ini tidak keruan bagaikan
sedang berlari jarak jauh dup dap yang tidak berhenti. Seharian Ina senyum dan
tersengih seorang. Daripada itu bermula episod hidupnya.
Suati hari itu Ina terkejut
apabila menerima seorang tetamu, wanita di awal usia 40an. Apabila dia
memperkenalkan dirinya sebagai isteri dia, Ina lagi terkejut. Ina tidak keruan,
adakah dia akan menikam Ina kerana cuba merampas suaminya? Adakah dia datang
untuk memberi amaran pada Ina? Tapi seingat Ina, dia tidak ada apa-apa hubungan
dengan dia, sekadar bertegur sapa sahaja jika bertembung.
Nyata hajat isterinya membuatkan
Ina lagi tidak keruan. Permintaannya sangat pelik, bayangkan seorang isteri
datang meminang untuk suaminya. Ina terfikir, isteri dia ni betul ke tidak.
Sememangnya jawapan yang Ina mahu bagi ialah ‘ya’, tetapi dia harus menjaga
perasaan semua orang. Apatah lagi umi Ina seorang yang penentang poligami.
Bagaimana mahu harus Ina sampaikan pada umi. Apatah lagi dia adalah pujaan hati
Ina. Cuma satu lagi halangannya, dia bukan sekampung dengan Ina. Itu juga
halangan utama keluarga Ina. Banyaklah halangan yang Ina nampak di depan matanya.
Sudah dua minggu selepas kejadian
itu Ina tidak nampak kelibat dia di pejabat sebelah. Segan pula mahu
bertanyakan Khairil, Muna ataupun Aini. Nanti dikatakan perempuan gedik yang
terhegeh-hegeh. Ina mula resah, hatinya sudah tawar. Segala gelak ketawa yang
di buat oleh Maria tidak mampu menghiburkan dia lagi. Makan tidak lalu, mandi
tidak basah dan tidur tidak lena.
“Aini, bagaimana dengan isteri
Encik Redzuan?” Tanya Rizan di dalam lif dan telah membuatkan Ina tersentak.
Itulah punca kenapa Ina tidak nampak kelibat dia lagi. Isterinya sedang
bertarung dengan penyakit kanser. Dan adakah dengan itu juga isteri dia datang
meminang Ina kerana dia sudah menjangkakan bahawa dia akan pergi tidak lama
lagi. Bagaimana harus Ina lakukan, Ina tidak pernah berbincang dengan sesiapa
pun tentang hajat isteri dia. Dia pun tidak pernah menghubungi Ina.
Ina cuba mencari nombor telefon
dia dan cuba menghantar pesanan ringkas bertanya khabar tentang isterinya.
Itupun selepas lama Ina berfikir samada wajar ataupun tidak di saat isteri dia
memerlukan dia berada di sisinya.
Selepas beberapa hari Ina
mendapat pesanan daripada dia yang menyatakan isterinya tengah nazak. Ina hanya
mendoakan supaya semuanya selamat. Ina mengambil keputusan untuk mendiamkan
diri sahaja bukan tidak simpati tetapi tidak wajar dan sesuai di waktu ini
mengambil kesempatan.
Selang beberapa minggu kemudian
selepas menerima berita lewat dua hari bahawa isteri dia telah kembali kepada
pencipta kita, Ina menerima sepucuk surat bercop daripada negeri sebelah. Surat
yang ditulis tangan oleh isteri dia, masih lagi tidak berputus asa untuk
meminang Ina untuk suaminya. Ina sangat terkejut selepas menerima surat
tersebut. Ina tanpa berfikir panjang mengambil cuti kecemasan dan kembali ke
kampung berjumpa dengan umi dan abi. Ina rela menerima apa sahaja keputusan
keluarganya.
Ina tersenyum girang apabila
keluarganya tidak mempunyai halangan dan menganggap semua itu adalah wasiat
yang perlu ditunaikan cuma umi bimbang tentang penerimaan anak tiri Ina. Ina
mengucap syukur kerana semua ini di permudahkan dan diterima. Rasa macam tidak
percaya sahaja.
Selepas enam bulan kematian
isteri dia, Ina disatukan dengan jejaka macho yang Ina idamkan selama ini.
Majlis berjalan secara sederhana dan anak-anak dia boleh menerima pengganti ibu
mereka.
Terima kasih Allah kerana
memberikan cinta itu dan menyatukan cinta itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)