Monday, 29 September 2014

Sinarnya sebuah cinta - ingin ku dakap bahagia

Bab 3- Ingin ku dakap bahagia
“Puan, saya ingin merasai bahagia. Bagaimana ye?”soal Fatin apabila dia datang bertamu di bilik pejabatku.
Aku merenung anak matanya, memerhatikan dirinya yang asyik memusingkan pen yang berada di tangannya. Fatin kelihatan agak resah menanti jawapan dariku.
“Apa maksud bahagia?” aku biarkan soalan itu tidak terjawab tetapi aku menyoalnya kembali.
“Bahagia apabila dapat bersama dengan orang yang kita sayangi,”ungkapnya dengan laju.
“Adakah Fatin mengharapkan keajaiban berlaku? “ cuba menyelidiki kehendak hati Fatin.
“Sejujurnya saya mengharapkan papa dan mama kembali bersatu. Tapi itu semua mustahil kerana mereka masing-masing ada keluarga,” perlahan Fatin membalas. Ada nada kendur di situ menandakan dia kecewa.
“Takkan saya nak doakan agar kedua ibu bapa saya bercerai dan kembali bersama. Kejam kan saya jika mementingkan diri saya sahaja tanpa mempedulikan hati adik-adik saya. Tapi hati saya siapa yang peduli?” Fatin meneruskan bicara apabila melihat aku diam.
“Apa harapan Fatin dalam kehidupan ini?” tanyaku lembut. Kedengaran Fatin mendengus kerana dia masih tidak mendapat jawapan dalam setiap persoalan yang dilontarkan.
“Puan boleh bantu saya ke tak ni?” Fatin mula menaikkan suaranya apabila dia merasakan bahawa aku tidak memainkan peranan seperti yang dia impikan.
“Fatin, setiap kehidupan ini tidak pernah terlepas daripada ujian. Allah sangat sayangkan Fatin dengan memberikan sedikit ujian bagi menguji keimanan Fatin. Fatin selalu solat lima waktu kan?” lembut tutur bicaraku, cuba mengambil hatinya yang sudah terusik.
Anggukan lemah membuatkan aku mengumpulkan kekuatan untuk menjawab segala pertanyaannya lagi.
“Fatin selalu tak berdoa?” aku ajukan lagi persoalan.
“Jarang sebab saya rasa doa saya selalu tidak dimakbulkan,” Fatin resah membalasnya.
“Fatin silap…..Allah tak makbulkan bukan sebab tidak sayangkan Fatin tetapi Dia mahu berikan yang terbaik untuk Fatin. Kita tidak tahu mana yang terbaik untuk diri kita,” jelasku ringkas dengan nada memujuk.
“Tapi kenapa Allah pisahkan kami semua? Kenapa kami tidak sama dengan orang lain?” Fatin mempersoalkan lagi.
“Fatin…..setiap manusia telah ditetapkan kehidupannya. Belajarlah menerima dengan redha apa yang telah ditetapkan dalam kehidupan ini, pastinya Fatin akan rasa tenang,” aku menarik nafas panjang sebelum menuturnya.
“Cuba Fatin lihat diri Fatin dan bandingkan orang yang berada di bawah. Sekurang-kurangnya Fatin masih mempunyai kedua ibu bapa yang mengasihi Fatin. Bandingkan dengan mereka yang yatim sejak dari kecil, susah pula tu. Ada di luar sana, keseorangan dalam kehidupannya, mungkin kita fikir kenapa Allah nak uji dia sebegitu rupa, tiadakah rasa kasihan padanya. Kita siapa untuk menilai setiap ketentuan yang Allah telah tetapkan.” Syarahku lanjut.
Aku lihat muka Fatin agak berkerut. Mesti cuba menghadamkan apa yang aku tuturkan. Syukurlah kerana dia cuba menerima apa yang aku katakan.



No comments:

Post a Comment