Saturday, 27 September 2014

Sinarnya sebuah cinta


Aku melihat airmatanya mengalir perlahan dan dia menyapunya. Dia yang kehilangan kasih ayah dan ibu walaupun mereka masih ada lagi. Dia yang bernama Fatin Ameera binti Ghazali adalah salah seorang pelajarku yang menyertai Kem Wawasan 2014 yang julung-julung kali diadakan luar daripada kampus.
Sejak hari pertama aku melangkah ke kelas Pengenalan Ekonomi Islam, aku sudah ternampak dia di sudut kelas merenung papan putih. Usai kelas, dia datang berjumpa denganku, menyatakan bahawa dia amat berminat dengan subjek ini. Aku hanya mengangguk sahaja.
Selepas itu hubungan aku akrab dengannya, dia selalu datang berjumpa denganku, adakalanya terlanjur dia bercerita tentang ibu bapanya, tentang masalah keluarganya, gelodak hatinya. Dia menganggap aku bagaikan pengganti ibunya, menangis tersedu pabila menceritakan buat kali pertama bagaimana dia keliru dalam memilih ibu ataupun ayah. Dia tidak suka ayah tirinya yang dikatakan suka mengawal segala pergerakannya dan ibunya. Dia juga turut membenci ibu tirinya yang selalu mencari salah dirinya. Dia tersepit, siapa yang dia harus pilih antara mereka berdua. Dia tersedu bercerita bahawa ibu bapanya hanya mementingkan diri mereka, tidak pernah mendengar derita hatinya.
Pada umur yang masih jagung, sembilan tahun ibu bapanya mengambil jalan yang amat memeritkan dirinya, berpisah. Di situlah bermula kehidupannya yang kehilangan kasih sayang. Seminggu di rumah ibu dan seminggu di rumah ayah. Lama kelamaan dia jemu kerana apa yang dia cari hanya satu, kasih. Namun dia hanya dihamburkan dengan segala kemewahan, wang ringgit. Wang ringgit tidak mampu membeli kasih, tidak mampu memberikan dambaan yang dia mahu, cinta, sayang dan gembira.
“Papa, hujung minggu ini kita jalan-jalan,”Fatin pernah mengajak ayahnya menemaninya keluar membeli belah.
“Papa sibuk. Ajaklah kawan-kawan Fatin,” jawab Encik Ghazali tanpa rasa bersalah.
Tubir matanya basah, dia cuba menahan, kuatkan diri. Dia rasa cemburu melihat Ashiqa dan Farah yang selalu ditemani ibu bapanya apabila keluar berjalan-jalan ataupu bersiar-siar dihujung minggu.
“Bukan papa tak boleh temankan Fatin, tapi Fatin kena faham kerja papa. Papa kerja kuat untuk kesenangan Fatin juga,” Papa cuba memujuk apabila melihat anaknya menyapu air mata.
Hujung minggu bagaikan neraka baginya, apabila papanya sibuk keluar bekerja, dia akan menyendiri di dalam bilik. Ibu tirinya hanya memberikan arahan dan akan membebel setiap saat menyatakan kesalahan demi kesalahan yang membuatkan lama kelamaan dia mencari kebebasan di luar. Papa tidak kisah dia keluar asalkan dia balik pada malam. Adakalanya dia berani menipu papanya dengan menyatakan bahawa dia tidur di rumah mama sedangkan dia tidur di rumah Alya ataupun Sarah. Mujur dia masih terkawal, tidak menjadi kutu malam dan berpelesaran tanpa tujuan.


No comments:

Post a Comment