Sunday, 28 September 2014

Ahli Kelab


“Achik mahu pelamin yang bertemakan warna perak, ungu dan sedikit percikan marah jambu,” adik kesayanganku yang bakal menamatkan zaman daranya tidak lama lagi ghairah menceritakan persiapakan perkahwinanannya.
Aku hanya mendengar separuh sahaja cerita kegembiraannya kerana aku asyik membelek telefon bimbitku melayan whats App ahli kelab single. Aku tersengih sendirian menyebabkan mak longku melihatku dengan kerutan di dahinya.
Cepat-cepat aku berlalu ke bilik
Sebelum ini memang aku liat untuk menjawab pasal jodoh aku walaupun usia aku sudah melewati 30-an. Ada pelbagai alasan yang akan aku kemukakan. Sebenarnya aku masih tidak dapat melupakan kisah silamku yang menjadi duri dalam hati ini. Namun aku gagahi mendatangi kehidupan dengan mencorakkan kegembiraan palsu di mata orang ramai.
Selama dua tahun aku boikot majlis perkahwinan tak kira siapa, kawan baik ataupun kawan sepejabat, pelbagai alasan yang aku rekak sehingga Asma sudah jelak dengan alasannya. Dan dia telah menyebabkan aku tidak lagi memboikot kenduri perkahwinan.
Kalau diingatkan memang aku malas nak pergi ke kenduri Asma tetapi disebabkan ugutannya yang mengetahui kebanyakan rahsiaku, aku terpaksa melangkah. Masaklah aku kerana aku terpaksa menghadiri dua kenduri iaitu ketika majlis akad nikah dan kenduri persandingan pada keesokannya. Paling aku tidak gemari, dia bersungguh meminta aku menjadi pengapit aku. Seribu satu alasan dia tidak terima dan dia ugut jika aku enggan, maka persahabatan kami akan terputus. Ada ke buat main-main pulak tentang persahabatan, dia je fikir pasal perasaan dia, dia fikir tak pasal perasaan aku ini. Sungguh aku tertekan desakan yang diajukan oleh Asma tetapi aku relakan ia demi sebuah persahabatan yang sudah lama termeterai.
Getaran telefonku menanda ada mesej baru masuk. Mesej dari kelab single yang berkongsi rasa. Matlamat kelab ini agar dibubarkan bukan untuk diteruskan. Bukan mahu mendokong supaya perempuan hidup single tetapi mendorong supaya meneruskan sunnah Rasululallah saw. Telah ada bebearapa ahli kelab single yang mula mengorak langkah meninggalkan kelab ini untuk memasuki kelab yang lain. Kami raikan pemergian mereka dengan penuh kegembiraan sambil mengesyorkan mereka menitipkan kebahagiaan itu bersama.
Pada hari yang dinanti oleh Asma, aku dengan langkah lemah mengajak sepupuku Hajar menemaniku. Rasa segan itu masih bertapak walaupun berpuluh walimah aku kunjungi. Keadaan sangat sibuk dihalaman dan di dalam rumah Asma. Selepas aku memberikan salam terus aku ke bilik utama iaitu bilik pengantin. Aku lihat Asma dikerumuni oleh sepupu-sepupunya yang sedang menginaikan jarinya.
Asma memanggilku dan mengarahkan aku membuat sedikit persiapan yang masih belum siap. Aku menyibukkan diri dan membantu mana yang mampu. Perjalanan akad nikahnya berjalan lancar pada keesokan harinya. Aku tidak berenggang dengan Asma selaku pengapitnya.
Sebulan usai perkahwinan tersebut, Asma menjemput aku ke rumah barunya di sekitar Shah Alam. Rupanya suaminya terpaksa ke luar negara menguruskan syarikat mertuanya. Asma mencadangkan agar aku menemaninya pada malam itu. Aku keberatan namun memandangkan aku ingin mendengar cerita jelajahnya aku bersetuju.
“Tengok ni,”Asma menghulurkan sebuah album perkahwinan padaku.
Aku tergelak apabila melihat gambarku yang telah menjatuhkan bunga pelamin dan telah menyebabkan kekecohan berlaku. Usah diceritakan bagaimana aku mahu mengawal air mukaku tika itu. Rasa mahu lari pecut 100 meter untuk mencari tempat perlindungan. Serba benda yang aku pegang akan menjadi sejarah. Sejarah itulah yang membuka kembali aku untuk terus pergi ke kenduri perkahwinan samada menguji adakah aku mempunyai badi perkahwinan sehingga segala apa yang aku lakukan akan menjadi serba tidak kena.
Tika walimah itu aku terserempak dengan Husna dan Nabilah. Mereka mengungkit kerana aku tidak hadir ketika mereka berdua melangsungkan perkahwinan. Tahukah mereka bahawa tika dan saat itu hati ini bagaikan disayat dan ditoreh, mana mungkin aku mengagahi hingga membuatkan aku terluka. Aku tidak mampu bangkit dan tersenyum kepuraan. Lama masa untuk aku pulihkan keadaan diriku. Lukanya mendalam.
Selepas peristiwa aku putus tunang pada saat 3 hari sebelum aku diijabkabul, aku terus mendaftar diri dalam kelab single bersama rakan-rakan seuniversiti aku. Saat itu aku tidak boleh mendengar perkataan-perkataan yang berkaitan dengan walimah, tanpa aku sedari airmataku akan terus menemani pipiku. Aku cuba hiburkan hatiku dengan pelbagai aktiviti dalam kelab single. Memang matlamat kelab single mencari pasangan tetapi tidaklah terdesak cuma memasang beberapa strategi yang dibenarkan dalam syariah. Kelab single ahlinya hanya terhad tidak boleh lebih daripada 10 orang dan mestilah terdiri daripada yang tidak mempunyai sesiapa pun lagi. Setiap sebulan sekali kami menganjurkan aktiviti sihat bagi menghilangkan kegusaran hati.
Dua tahun lamanya aku tidak pernah menghadiri reunioan sekolah, matrikulasi dan universiti. Dua tahun lamanya aku menyepi dari pandangan mereka. Sengaja aku limitkan facebook dan twitter daripada dijejaki mereka. Ingin aku tidak aktifkan tetapi ditegur oleh Halimah , Presiden Kelab Single. Matlamat kami semua menjejaki bahagia dan mestilah berani mendepani cabaran yang mendatang.
“Reen, ahli kelab kita akan berkurangan lagi bulan depan,” bicara Halimah dalam telefon pada hujung minggu lepas. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata itu. Sekarang ini ahli kelab single hanya tinggal tiga orang sahaja lagi. Buat masa ini kelab ini tidak mahu mencari pelapis. Hanya aku, Halimah dan Mastura.
“Mas sudah dipinang ker?” aku menutup kekecewaan itu dengan gelak-gelak ketawa.
“Bukan Mas la, tapi Imah,” tutur Halimah lembut.
“Tahniah!” apa lagi bicara yang baik tika ini. Aku terpempan seketika, masih dalam ingatan bahawa Halimah antara orang yang boleh dikategorikan anti lelaki. Dia agak alergik apabila berbicara pasal kaum adam namun akhirnya dia menerima takdir dan ketentuan yang bukan milik kita.
“Mas, apa strategi kita ni?” soalku apabila kami berdua keluar makan bersama.
“Lupa Mas nak bagitahu, Mas pun ada berita gembira juga. Rasanya kita kena raikan untuk pembubaran kelab ini,” Mas laju menutur bicaranya.
Mereka lupakah yang aku masih lagi single. Berani mereka ingin membubarkan tanpa bertanyakan aku. Aku rasa marah membijar dalam diri. Aku diamkan sahaja demi menjaga sebuah persahabatan. Kepada siapa aku akan luahkan ini? Terpacul soalan dalam fikiranku. Kacau betul apabila menjadi orang akhir.
“Apa?” Serentak Mas dan Imah menjerit apabila aku membentangkan strategi aku untuk meneruskan tradisi kelab single ini. Mereka berdua sungguh tidak bersetuju dan beria-ia memujukku membubarkan kelab ini. Katanya tidak perlu diteruskan. Mereka lupa agaknya kelab ini yang menghiburkan hati mereka dikala mereka kesunyian dulu. Kelab ini juga banyak membantu mereka-mereka yang pernah mendaftar ahli. Mereka semua perlu diingatkan dengan objektif, visi dan misi kelab ini.
“Kita panggil semua bekas ahli kelab ini untuk mendapatkan undi,”aku mencadangkan. Nampaknya aku kena aturkan strategi supaya semua bekas ahli kelab ini menyokong tindakanku. Aku mengumpul maklumat tentang pencapaian ahli kelab ini dan kejayaan kelab ini.
“Maaf Reen, kami semua sebulat suara menyokong cadangan Mas dan Imah,” bicara rakan-rakan bekas kelab single tika perjumpaan lewat petang semalam. Aku terpana, nampaknya aku lemah kerana tidak mendapat sokongan padu dari mereka. Yang mulanya menyokong aku akhirnya beralah demi kesejahteraan sahabat yang lain. Aku akur dengan keputusan mereka. Akhirnya dengan rasminya kelab single dibubarkan.
“Reen, terimalah lamaran Hadi tu,”pujuk Mas bersungguh apabila melihat aku sedih dengan keputusan yang dibuat. Mereka terpaksa berbuat demikian demi aku. Mereka mengetahui bahawa Hadi sanggup menunggu mengubati jiwaku yang terluka ini. Mereka menanti dengan sabar bilakah aku sanggup membuka pintu hatiku ini untuk menerima lamaran Hadi yang sanggup mengenepikan wanita di luar sana. Mereka melihat kesungguhan Hadi dan merasai bahawa Hadi adalah anugerah yang patut aku miliki.
Bukan aku sombong dan angkuh dalam menimbangkan keputusan itu tetapi aku gusar dan takut untuk melangkah kea lam itu. Fobia itu masih ada, tipu jika aku bagitahu yang aku sudah sembuh 100%. Kebimbangan itu masih melanda.

Aku berjanji untuk membuka ruang dan menyerahkan urusan ini pada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan ini. Rata-rata kawanku gembira dengan keputusan yang aku ambil ini. Terima kasih semua kerana sentiasa mendoakan yang terbaik untuk diriku. Doakan agar dipermudahkan urusan ini. 

No comments:

Post a Comment