Sunday, 14 October 2018

SOLAT



“Ustaz, bagaimana saya mahu solat ?” Tanya Erman kepada Ustaz Amin.
“Kenapa? Uzur ker?” Tanya Ustaz Amin sambal tersenyum sinis.
“Er…er….rambut saya ni ustaz,” Erman menggaru kepalanya sambal tersengih-sengih, tidak tahu sama ada menutup malu ataupun sengaja berbuat demikian.
“Habis tu selama ini bagaimana? Kenapa kaler rambut?” Soal Ustaz Amin dengan nada yang agak lembut, bimbang terluka.
“Saya ….saya …tidak pernah solat sejak dari kecil lagi,” luahnya dan nampak keluhan kecil dilepaskan, agaknya lega selepas berterus terang.
“Boleh ceritakan dengan lebih lanjut, kenapa tidak pernah solat?” Ustaz Amin bertanya lanjut.
“Ibu bapa saya sudah berpisah sejak saya kecil lagi. Saya tinggal dengan abah dan dia tidak pernah mengajar saya solat. Saya pun tidak tahu sama ada abah saya solat ataupun tidak. Setahu saya abang saya pun tak solat, malah dia pun minum. Saya …tak minum,” katanya sambal mengangkat kedua belah tangannya tanda menyerah.
“Awak pernah tanya abah awak tentang solat?” Ustaz Amin masih meneruskan soal jawabnya.
“Saya jarang bercakap dengan abah saya. Selalu saya akan whatsapp untuk minta duit sahaja,” jelasnya yang agak mengejutkan Ustaz Amin.
“Awak jarang jumpa abah awak?” Ustaz Amin mahu memastikan anggapannya.
Anggukan lemah dari Erman dan terpancar rasa sedikit kekecewaan di wajahnya, kesal dengan sikap abahnya yang hanya menyogoknya dengan wang ringgit sahaja tetapi tiada tanggungjawab yang dilaksanakan.
“Awak tak pernah pergi sekolah agama?” Ustaz Amin masih meneruskan soal selidiknya.
“Saya tidak pernah sekolah agama. Kalau kelas agama di sekolah pun saya selalu ponteng,” katanya, tunduk cuba menahan rasa kesalnya.
“Erman mahu belajar tak?” Ustaz Amin cuba menduga.
“Masih belum terlambat ke ustaz?” soalnya kembali.
“Selagi ada nyawa, masih terbuka peluang itu,” Ustaz Amin menenangkannya.
“Nanti saya datang jumpa ustaz ye,” janjinya sebelum berlalu pergi.


No comments:

Post a Comment