Sunday, 28 October 2018

Jodoh

Sudah puas Nelly cuba melupakan dirinya yang muncul tiba-tiba dalam kamus kehidupannya. Sebelum ini Nelly tidak pernah terfikir akan hadir seorang lelaki dalam hidup sepinya. Tambahan dalam usia menjangkau usia emas, mungkin tiada siapa yang sudi memandangnya.

Sebelum ini Nelly memandang sepi apabila deringan telefon berbunyi pada tengah malam. Malas melayan orang gila katanya. Nelly buat endah tidak endah sahaja pemilik nombor yang kerap kali mendail nombornya. Buatlah apa yang dia suka, kata Nelly. Adakalanya bersarang juga rasa takut dan gusar dalam hatinya, bimbang dicerobohi dan mengetahui detail tentang dirinya.

Pada bulan lepas, tanpa Nelly duga, si pemilik nombor misteri itu menelefon dia pada siang hari, memberi salam dan terus kepada tajuk agendanya, iaitu mahu berkenalan. Terkedu Nelly di buatnya. 

Nelly menyiasat siapakah pencuri hatinya ini, adakah benar segala kisah yang diperkatakannya. Nelly bertanya pada jiran-jiran yang mengenalinya. Ternyata dia seorang yang jujur dan berani dalam melamarnya. Nelly masih rasa terkejut dengan drama sesaat itu.

Dan pada bulan ini, berlangsunglah ikatan pertunangan Nelly dengan dia, serba ringkas dan bertemakan warna biru lembut. Nelly memilih tiga bulan akan datang untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Nelly tidak menyangka yang akhirnya jodohnya sampai jua. Nelly menyangka bahawa mungkin dia tidak akan ketemu jodoh di dunia ini.

No comments:

Post a Comment