"Sya, mengapa saya asyik teringat kepada dirinya?" Tanya Lia kepada sahabat baiknya.
"Kan awak dah cuba terima." Balas Sya dengan nada yang mendatar, malas melayan karenah sahabatnya yang sengaja tidak mahu melupakan orang yang disayanginya itu.
Bukan Lia tidak mengerti bahawa orang yang dia sayangi itu sudah menjadi milik orang lain. Tiada lagi kasih dan cinta yang bertapak di hatinya, buat apa menangisi takdir yang telah tertulis. Melangkahlah ke depan untuk terus menangkap takdir yang akan datang.
"Sya, Lia tak tahu nak ceritakan bagaimana. Setiap kali Lia melintasi kawasan perumahannya, Lia rasa sayu sahaja. Lia seolah ingin singgah dan bertanya berkali-kali lagi kenapa Lia bukan pilihannya," luah Lia dengan pandangan mata yang sayu. Ada genangan air mata di tubir matanya.
"Lia, Sya harap Lia cuba pelajari melepaskan apa yang bukan milik Lia. Sememangnya dia ditakdirkan bukan menjadi milik Lia. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk Lia. Mungkin ada orang lagi baik yang akan datang dalam hidup Lia," Sya cuba memujuk sambil cuba menenangkan jiwa Lia yang masih berkecamuk.
"Bayangan wajahnya selalu menghantui diri Lia. Ke mana sahaja Lia pergi, Lia akan terbayang kenangan bersama dia. Bukan sekejap perkenalan kami, lebih daripada lima tahun kot," Lia cuba menguatkan hujah.
"Lia, janganlah gila talak macam ini," nada suara Sya sudah berubah, ada sedikit getar cuba menaham amarah, gagal memujuk Lia menyebabkan dia sendiri sukar mengawal emosinya.
Terus terdengar gelak ketawa Lia, menyedari sahabatnya marah dengan gelagatnya yang bagaikan tiada lelaki lain yang boleh menjadi pengganti.
"Sya, Lia minta maaf. Bantulah Lia supaya Lia terus boleh memadam memori ini. Semoga Lia dapat mengirimkan pada angin supaya membawa terbang segala kenangan dan memori ini," akhirnya Lia mengalah dan terdengar keluhan halus dilepaskan, tanda mengalah dan mahu cuba untuk memadamnya.
No comments:
Post a Comment