Tuesday, 2 November 2021

Sedetik ini


“Aku rasa aku tidak ada lagi makna untuk kehidupan” luah Safiya tiba-tiba.

Aina dan Lily terkejut mendengar keluhan yang keluar daripada mulut Safiya.

“Aku tidak ada matlamat yang ingin dicapai lagi,” sambung Safiya lagi. Kedua kawannya tergamam dan tidak mampu lagi berkata-kata dan membiarkan sahaja Safiya meluahkannya.

“Aku rasa Allah dah pilih aku untuk terus diuji. Aku terimanya, mungkin jodoh aku sudah meninggal sejak kecil lagi dan aku tahu aku akan bertemunya di syurga nanti,” nada suara Safiya makin menurun, perlahan seolah berbisik.

“Setiap apa yang berlaku, ada hikmahnya. Jangan kita berputus asa dengan dugaan yang kita hadapi,” Aina memujuk lembut sambil memegang tangan Safiya, mengenggamnya erat.

“Kita insan terpilih dan bertuah. Allah tahu kita mampu, selama ini kita selalu berjaya kan,” giliran Lily pula membalas kata-kata Safiya, sambil memeluk Safiya menenangkan fikiran Safiya yang mungkin serabut.

“Aku tidak tahu mengapa Imran hadir dalam hidupku,” Safiya meneruskan luahan hatinya.

“Mengapa dia hadir seketika cuma, sekadar datang untuk melukakan hati ini. Pedih dan sakitnya, tidak boleh digambarkan,”Safiya menangis teresak-esak.

Aina dan Lily membiarka sahaja Safiya meluahkan apa sahaja yang terbuku selama ini. Biar dia rasa lega apabila menuturkannya.

“Aku syak dia sebenarnya baru melihat rupa aku yang sebenarnya, rupanya tidak cantik dipandang mata, dan perangai aku yang agak degil dan keras, tidak pandai masak dan mengemas, terlalu kejarkan kerjaya dan sibuk. Mungkin itu yang membuatkan dia berfikir banyak kali sehingga dia menarik dia dan berdiam diri dan menjauhkan diri dari aku,” Safiya membuatkan andaian setelah terjadi pertengkaran kecil yang menyebabkan perpisahan antara mereka.

“Fiya, Aina rasa dia masih sukar melupakan kisah silam dia. Mungkin dia takut kecewa buat kali kedua. Dia kan merendah diri, dia rasa dia tidak punyai apa-apa, dan itulah yang membuatkan dia melepaskannya,” Aina memberikan pandangannya.

“Lily rasa dia sebenarnya ingin cuba tetapi dia risau dengan keadaan kewangan dia yang tidak menentu, mampu ke dia menanggung Fiya. Sebelum ini dia mempunyai segalanya tetapi selepas berpisah dengan isterinya, dia hilang segalanya. Itu yang membuatkan hatinya berbolak balik, takut,risau, gerun dan sebagainya,” Lily menyokong pandangan Aina.

“Tapikan……..” Safiya teragak-agak meneruskan kata-katanya.

Aina dan Lily memandang tepat ke arah muka Safiya apabila Safiya tidak meneruskan kata-kata itu. Tangan Lily sudah mencuit bahu Safiya, isyarat supaya menyambung ayat itu.

“Ibu….” Suara Safiya tersekat lagi, kedengaran sebak.

“Kenapa dengan ibu?” Serentak Aina dan Lily bertanya.

“Ibu tidak memberikan apa-apa respon apabila Fiya bercerita tentang Imran. Fiya ceritakan yang Fiya berkenalan dengan Imran, bekas askar, duda anak tiga dan sekarang tinggal di Seremban. Ibu tidak bertanya lanjut seolah tidak berminat mengetahuinya,” akhirnya Safiya bercerita.

“Aku rasa ibu sebenarnya takut Fiya terkena lagi seperti sebelum ini. Siapa tu yang Fiya kenal, suami orang tu, yang kami pergi teman jumpa isternya,” kata Aina.

“Ooo…itu Azman,” Safiya membalasnya.

“Lily rasa ibu risau sebenarnya tapi dia tidak mahu menyekat, Cuma dia bimbang,” kata Lily

“Tapi perbuatan ibu seolah ibu tidak mahu lepaskan anak bongsunya ini. Bukan mak Aina selalu bertanya dan memujuk untuk Aina kahwin kan,” Safiya tidak berpuas hati dengan penjelasan Aina dan Lily.

“Umi Lily pun ada meminta kenalan mencari jodoh untuk Lily kan. Umi Lily bisingkan sebab seolah-olah Lily terlalu sibuk dengan kerja,” Safiya menyatakan pandangannya, masih tidak boleh menerima kenapa ibunya hanya mendiamkan diri, tidak memberikan apa-apa komen tentang hubungannya dengan Imran.

“Apapun kita kena berdoa semoga perjalanan hidup kita ini diredai oleh Allah SWT dan direstui oleh kedua ibu bapa kita,” Lily memberikan kesimpulan perbincangan mereka.

Masing-masing mendiamkan diri dan meminta diri untuk bersiap menunggu waktu maghrib.

 

No comments:

Post a Comment