Monday, 28 January 2013

Surat Untukku

Aku menerima surat yang bertulisan tangan yang begitu cantik dan kemas tulisannya.
Kehadapan Adilah,
Aku masih ingat lagi tatkala aku menangis, kau akan menghulurkan sehelai tisu untuk ku lapkan air mataku. Aku sedih dan meratapi nasibku sedang kau meredakan kesedihan hatiku dengan kata-kata yang bersemangat. Katamu, aku anak yang baik. Aku tidak bersalah dan ibuku jua mangsa keadaan, bukannya seperti yang didakwa mereka. Mereka diluar sana suka sangat menghukum tanpa usul periksa. Mereka suka membawa derita pada aku. Sepatutnya mereka memberikan semangat dan mereka merubah bangsa mereka supaya tiada lagi kelahiran anak tanpa bapa berlaku lagi dan lagi.

Adilah, aku tahu kau mengetahui cerita sebenar aku disebalik kelahirkanku. Aku tidak seperti rakanmu yang lain mempunyai kedua ibubapa sedang aku hanya mempunyai ibu. Ayah, aku tidak tahu siapakah ayah aku yang sebenarnya. Aku tidak mahu tahu sejarah ibuku yang malang kerana aku tahu setiap yang ditakdirkan oleh Allah mempunyai hikmah yang tersembunyi. Aku tahu ibu selalu sembunyikan kedukaannya. Sejak aku kanak-kanak lagi apabila aku mengajukan soalan tentang ayah, mata ibu akan berkaca dan aku terus berhenti bertanya. Tapi Adilah, sebagai seorang kanak-kanak yang normal aku tidak mampu bertahan untuk bertanya lagi dan lagi sehingga aku bertemu jawapan yang pasti. Paling aku tersentak apabila ramai rakan-rakanku mengejek diriku, mengatakan aku anak haram, anak hina, anak terbuang dan pelbagai lagi gelaran yang menghiris hatiku. Tahukah mereka semua aku masih punya hati dan perasaan. Tahukah mereka, adakah aku diminta dilahirkan sedemikian? Adakah aku mempunyai pilihan dalam diri tika itu?

Adilah, setiap kali ejekan yang aku terima , kau selalu dibelakangku menyokongku dan mencurahkan semangatku. Mana mungkin aku akan ada pengganti seperti dirimu. Kata kau, jangan kita biarkan diri kita dipijak sesuka hati. Anak tidak bersalah. Yang bersalah walaupun tidak mendapat hukuman di dunia tetapi dia akan mendapat hukuman di akhirat nanti. Dia tidak akan terlepas daripada hukuman Allah SWT. Aku mengiakan sahaja dan terus tersenyum. Aku katakan pada kau, “Ustazah Adilah, terima kasih..” Kau akan menepuk diriku dan mengukir senyum. Masih ingat tak, kau akan bawa aku ke gerai cendol Pak Hamid dan kita akan sama-sama menikmati cendol itu di tepi bendang dan membiarkan tudung kita ditiup angin dan meliuk-liuk. Kau akan mencemikkan muka dan cuba sedaya upaya menghiburkan hatiku. Aku amat berterima kasih saat itu sehingga aku mampu ketawa kembali.

Sewaktu teman sepengajian kita berlari pulang dengan keriangan, kau akan mengajak aku berlari diperbatasan, mengejar burung yang kelelahan berehat di pokok yang tegap itu. Kata kau, jangan tinggalkan warna dunia kerana pelangi petang cantik untuk ditatapi tetapi sukar untuk dipegang. Pintamu, jadilah seperti pelangi petang dan aku tersenyum tanpa memahami maksudmu.

Masih segar lagi, ketika perjalanan pulang dari warung Pak Dollah, ramai remaja di situ mengejek aku lagi. Aku terus berlari dan berjuraian air mata di pipi. Kau mengejar aku dari belakang sehingga kau kelelahan. Seminggu kau terpaksa berehat di rumah angkara aku. Aku terpaksa mengajar kau pelajaran matematik kesukaan kau, seperti cikgu Maimun. Kata kau, belajar membina bangsa melalui matematik, seperti Khawarizmi. Sedang aku terlopong mendengarnya.

Kau selalu memberi semangat apabila melihat markah ujianku. Aku teramat takut untuk ditunjukkan pada ibuku. Ibu akan merotan dan menghukum aku jika aku tidak berjaya dapat B. Aku teramat geri dan ibu akan bangkitkan asal usul aku. Kata nenek, ibu tidak redha dengan kelahiranku. Ibu amat mengharapkan aku meninggalkan ketika dilahirkan. Ibu mengharapkan aku mati dalam kandungan tapi ajal aku masih jauh, aku berjaya menghirup udara segar. Kehadiranku di bumi ini tidak dialu-alukan oleh sesiapa tetapi aku tetap bersyukur sekurang-kurangnya aku tidak malang seperti kebanyakan bayi yang lain dibuang di dalam tong sampah atau dicampak di mana-mana. Sekurang-kurangnya aku punya ibu dan nenek, pujuk hatiku.

Aku dengar kau sudah jadi capai impian kau, menjadi wartawan untuk membongkar kebenaran, untuk menjaja kepada dunia kisah kehidupan disebalik kebenaran. Aku tetap doakan kau maju dalam perjuangan kau. Masih aku ingat, kau pernah laungkan di perbatasan yang kau akan capai cita kau, tiada siapa yang boleh halang. Aku rasa aku ingin jadi macam kau tapi aku takut pada bayangku, aku takut semua orang di luar sana mengeji aku. Aku takut untuk keluar dari daerah ini, Adilah.

Andai aku kembali ke daerah kita dan sama-sama mengutip kenangan lalu, derita yang ku tanggung takkan surut jua. Andai aku mengalun pilu hatiku, aku rasa kau enggan memandangku lagi. Bukan ini jalan yang kupilih, bukan derita yang ku mahu,bukan pahit ku telan tetapi aku sendiri tidak tahu mengapa aku tersasar begini.

Adilah, aku tahu aku salah kerana tidak meletakkan Allah sebagai keutamaan aku. Aku goyah dalam perjuangan dan mengambil jalan singkat. Hukumlah aku sebagaimana manusia menghukum aku. Aku tahu kau juga akan mengutuk apa setelah kau mengetahui kebenaran yang aku sembunyikan. Cukuplah kau ketahui, aku telah melahirkan anak tanpa bapa. Mungkin betul apa yang orang kata, jika benih tidak baik maka akan lahir juga benih yang tidak baik. Aku tidak punyai sesiapa lagi selepas ibu dan nenek pergi meninggalkan aku. Aku tersedu di pusara mereka sedang aku masih hingusan lagi tentang dunia. Aku masih berusia 17tahun ketika ibu meninggalkan alam ini. Mujurlah Pak Ngah sudi menanggung perbelanjaan sekolahku sehingga tamat SPM. Selepas SPM aku tekad bekerja tidak mahu menyusahkan sesiapa. Ibu dan nenek tidak meninggalkan apa-apa bekalan untuk aku teruskan perjuangan.

Penghijrahan aku ke kota besar telah mendewasakan aku. Setahun aku mempertahankan iman yang telah diajar oleh Ustazah Nurain. Ajarannya tegar di dalam dada dan mindaku. Aku bersyukur telah dibenamkan benih iman dalam dada. Tapi Adilah, sukarnya hidup di tengah kota yang penuh dengan rakusan nafsu ini. Mula-mula aku berkenalan seperti yang lain juga, aku terpujuk dengan rayuannya, pertemuan demi pertemuan yang menerbitkan rasa cinta, membangkitkan rasa sayang. Janji setia bersemi dan akhirnya kami hanyut dan kalah dengan godaan syaitan. Aku terlupa seketika untuk membilang dosa dan akhirnya kami berdua terlanjur dalam sedar. Dua tahun lamanya kami menyemi cinta tanpa ikatan yang sah, akhirnya aku disahkan mengandung. Masa itu aku rasa kelam dan gelita dunia ini, aku terbayang nasibnya akan sama dengan nasibku. Masa itu aku bagaikan baru terjatuh dari langit sedar apa yang telah aku lakukan. Aku merayu pada dirinya supaya segera menikahiku tapi dengan angkuh dia mempersoalkan keturunanku. Aku terpalu rasa hina. Saat itu baru aku teringatkan kembali pada kau, Adilah. Aku menyesal dan membasuh dukaku dengan segera bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut. Bagaimana dengan nasib bayi ini? Adakah sama dengan aku nanti?

Ingin aku ingatkan diriku, nasib aku dan nasib anak aku tidak sama. Aku, tidak tahu sapa ayah aku kerana ibuku dirogol beramai-ramai dan tanpa kerelaan benih itu bercambah. Tapi nasib anak aku, dia akan ketahui siapa bapanya dan dengan kerelaan kedua ibubapanya. Mana mungkin ada persamaan antara kami berdua. Aku menangis apabila mengenangkan apa yang bakal terjadi pada diri anakku nanti.

Adilah, mesti kau tertanya-tanya apa sudah jadi dengan anakku. Aku sendiri tidak mengetahui nasibnya setelah aku tinggalkan dia di Rumah Sinar Penyayang. Setelah aku sedar aku mengandung, aku terus ke sana menjadi penghuni di sana selama lebih kurang 1 tahun sebelum aku keluar mencari sinar harapan. Selepas aku melahirkan bayi lelaki yang comel, aku terus menyerahkan kepada sepasang suami isteri yang mahukan anak tersebut walaupun sudah mengetahui sejarah hidupku. Aku rasa mereka bagaikan payung melindungi anak aku itu. Aku harap anakku tidak terseksa seperti aku dan menjadi anak yang baik.

Cukuplah aku yang menanggung dosa sekali, untuk ku yang kedua aku mahu menjaga bayi ini walaupun dihina dan dicemuh masyarakat. Aku takkan ulangi kesilapan pertama aku. Aku gagal sembunyikan perasaan kecewaku sebenarnya. Aku menyesal Adilah, sungguh-sungguh kesal dengan diriku ini.

Sebenarnya aku sendiri terseksa dengan semua ini Adilah. Bohong jika aku katakan jika aku tidak terdetik kesal kerana aku memang rasa menggunung dosa dan tidak tahu samada Allah akan ampunkan aku ataupun tidak. Tapi aku ingat titipan kau, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Adilah, sejujurnya aku tidak mahu berjumpa dengan kau kerana aku rasa amat hina di sisi mata kau. Aku tahu Adilah, kau takkan memandang negatif padaku sepertimana dulu kau selalu menemaniku tika aku dalam kesedihan. Sebab kau akan menghiburkan aku tika aku diam termenung. Dan disebabkan itu juga setiap kali kesedihan mengundang, aku akan teringatkan kau dan aku akan mula mengarang ayat untuk memberitahu kau. Sudah lama aku mengarang cuma aku tak tahu bagaimana nak menghantar surat-surat itu.

Aku cuba dan terus mencuba memohon ampun daripada Allah SWT. Aku memerlukan bimbingan, mungkin ajaran yang aku pelajari dulu tidaklah teguh imannya di dada. Kerana cinta, aku korbankan imanku. Kerana nafsu aku gadaikan segala agamaku. Adakah kau masih sudi menjadi sahabatku?

No comments:

Post a Comment