Saturday, 19 October 2013

Kembali ke tanah air

Akhirnya As selamat sampai ditanah air yang As cintai setelah lebih kurang lima tahun As merantau di sana. As berjaya akhirnya menguburkan segala kenangan yang mengusik jiwa dan mengenggam kejayaan.

Sebelum As pulang ke sini, As telah berjumpa Eddy dan Rina. As beranikan diri pergi ke apartment mereka dan bersemuka dengan mereka berdua. As luahkan apa yang As rasa dan As nasihatkan cukuplah As yang merasai bagaimana sakitnya rasa itu. Apa yang penting dahulukan kepentingan keluarga, ada ganjaran yang menanti mereka berdua kerana akur dan taat pada perintah keluarga, nasihat As pada mereka berdua. Ada airmata berlinangan di tubir mata Eddy dan cepat-cepat Eddy menyekanya. Biar apa terjadi As perlu kebal dan kuat di depan mereka, As tidak mahu tunjukkan kelemahan As selama ini. Biarlah Ima sahaja yang mengetahui pahitnya hempedu yang As hirup dan tawarnya hidup ini tanpa gula.

Ima, sebaik sahaja As menjejakkan kaki ke muka pintu As di tanah air ini, As ingin menatap wajah Adlina adik As yang begitu As rindui tetapi malangnya dia telah lama mengadap Ilahi. As menangis di depan biliknya. Adlina pernah merayu mohon As jangan pergi dalam hidupnya tetapi As degil dan berlalu pergi jua. As amat merinduinya dan As hadiahkan al-fatihah padanya moga dia tenang di sana.

Sejak As balik kita belum berkesempatan berjumpa lagi, maklumlah As di selatan sedangkan Ima di Timur tanah air. Mungkin kita perlu agihkan masa yang ada cuma Ima perlu meminta kebenaran suami Ima terlebih dahulu. As ingat As ingin menziarahi Ima, mungkin sebulan dua lagi, maklumlah As baru sahaja melaporkan diri di sini dan agak susah jika ingin memohon cuti, harap Ima faham.

Ima, ingat tak yang As pernah bercerita yang As pernah berkenalan dengan seorang pelajar yang belajar di Mesir tatkala Eddy sedang menarik tali dalam perhubungan itu? Selepas dilanda kekecewaan As ada mengirim emel kepadanya dan mendapat balasan. Jangan Ima salah faham, bukan As cepat beralih arah cuma As ingin berkongsi rasa dengannya dan meminta pendapat kedua dengannya. As tahu Ima mesti marah dengan tindakan As dan itu merupakan salah satu sebab As jarang membuka cerita tentang Rosman pelajar Mesir itu. Rosman selalu memberikan semangat pada As tika As mengadu padanya. Memang As tahu bahawa As mengambil tindakan yang salah kerana mengadu pada seorang lelaki yang tidak As begitu kenali. Maafkan As sekali lagi kerana mengambil tindakan yang salah.

Sudah dua tiga purnama As menanti khabar berita daripada Rosman. Berita yang As kirimkan tidak mendapat balasan sehingga As merasakan dia mungkin sudah mempunyai kehidupan yang bahagia dan tidak mahu lagi berkawan dengan As lagi. Pelbagai andaian yang As teka namun As masih lagi mengharapkan dia membalas segala emel dan kiriman surat. As tekad untuk mencarinya sehingga mendapat jawapan yang pasti tika As kembali ke tanah air nanti.

Dalam ketidaksabaran As berjaya menjejaki rumah Rosman dan As amat terkejut kerana rupa-rupanya Rosman telah pergi meninggalkan alam yang fana ini seberapa purnama yang lalu. Patutlah kiriman berita As tidak dibalasnya. Dia meninggal ketika bersujud padaNya yang membuatkan As kagum dengan dirinya. Ibunya amat bangga dengan dirinya yang begitu taat dengan perintah agama. Ibunya menceritakan bahawa dia pernah berkias bahawa dia mempunyai kawan yang sedang belajar di luar Negara. As sendiri tidak menyangka bahawa dia pernah menceritakan tentang diri As pada keluarganya dan rupanya dia cuba melihat hubungan ini secara serius. Namun malangnya jodoh kami berdua tidak tersurat di Luh Mahfudz. Takdir tidak memihak kepada kami berdua. As pasrah dengan apa yang telah dituliskan pada kehidupan ini.




No comments:

Post a Comment