Sunday, 6 October 2013

Warkah buat Ima


As-salam
Ima, masih ingat tak lagi tentang hubungan As dan Eddy yang tergantung itu? Tiada kata putus sebenarnya antara kami berdua? Tentu Ima masih ingat kerana Ima lah tempat As mengadu sekiranya As ada masalah terutama hubungan As dengan Eddy.

Setelah sekian lama kami bermain teka teki, akhirnya Eddy menghulurkan sekeping kartu yang bertinta emas lewat pertemuan kami berdua. As sememangnya tersentak dengan huluran itu tetapi As cuba mengawal diri dan membaca nama yang tertera itu. As mengucapkan tahniah dan sempat bertanya dua- tiga soalan sebagai mengawal rasa hati yang sudah retak dan berkecai. Selepas itu As cepat-cepat meminta diri. Kiranya itulah pertemuan terakhir As dengan Eddy.

Usai sampai di rumah, segala kenangan bersama Eddy terus As padamkan. Bermula pada hari itu juga, As mengisytiharkan bahawa As akan belajar melupakan semua kenangan yang tercipta. Bilah hari yang berlalu begitu lambat sehingga As rasa As perlu keluar dari sini. Bermula dari saat itu, As memohon untuk sambung pengajian di luar Negara dan akhirnya As berjaya. Syukur tidak terhingga kerana As boleh melangkah keluar dan mengharapkan agar As dapat membuang segala kenangan yang semakin menjerat rasa itu.
Akhirnya As telah terbang ke Leicester dan mahu bermukim beberapa purnama dan mencipta mimpi indah di sini. Rembulan dan matahari tetap sama menemani As di sini tetapi kenangan itu tetap terpahat di hati ini dan agak sukar untuk diusir keluar. Peritnya As menanggung derita ini keseorangan.

Hampir enam purnama As di sini, hampir wujud ketenangan itu, tiba-tiba ia berkocak kembali. Mulanya As sangka As hanya ternampak baying Eddy sahaja, maklumlah As masih lagi mengingati kenangan itu. Namun apa yang As nampak adalah realiti, Eddy benar-benar berada di depan mata ini. Ujian apakah ini di saat As hampir selesai pertarungan ini?
Awalnya As cuba mengelak daripada bertembung tetapi takdir menemukan kami tidak dapat mengelak lagi. Dari pertemuan pertama terjadi kepada pertemuan kedua dan seterusnya. As tahu, Ima tentu marah apabila As semakin rapat dengan Eddy. Namun apakah daya As? As tiada kekuatan untuk melawannya. As semakin hari semakin takut, risau apabila ditinggalkan lagi setelah sinar bahagia sudah bercambah di hati ini.

Pada suatu hari Eddy beria-ia mengajak As keluar, katanya ada kejutan yang dia ingin berikan. Perasaan As berdebar-debar dan kalau diikutkan hati, As mahu segera sampai di situ. Adakah As masih mempunyai peluang? Sesampai As di tempat yang dijanjikan, As hampir pengsan kerana As diperkenalkan dengan isteri Eddy yang jauh lebih jelita dan bergaya. As terkedu dan hanya mendiamkan diri sahaja. Mengapa semua ini terjadi, soal hati kecil As.

Mungkin Ima akan menyalah As kerana terlalu mengikut naluri tapi Ima perlu sedar, As tiada kekuatan melawan itu. As semakin lemah dan semangat itu makin lama makin melayang. As tahu As sendiri yang mengundang derita itu dan As harus menempuhinya. As tidak salah kan sesiapa dalam hal ini kerana As sendiri yang berani bermain api sehingga ia makin membara dan membakar diri ini.

Ima, As harap Ima boleh memberikan dorongan buat As meneruskan perjalanan hidup ini.
Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment