Maafkan As kerana menitipkan warkah yang kedua buat Ima. As rasa Ima sahaja yang layak mendengar segala masalah yang As hadapi kerana Ima bersama dengan As sejak As mengenali Eddy lagi. Sememangnya warkah ini masih lagi berkaitan dengan Eddy.
Ima, sejak pertemuan tempohari As semakin menjadi seorang yang pendiam tetapi dalam masa yang sama As bertekad untuk cepat-cepat menyudahkan perjuangan As di sini. As mahu segera pulang ke kampung halaman yang As rindui sejak akhir-akhir ini.
Tanpa As sangka, isteri Eddy yang namanya Rina telah datang bersemuka dengan As. Katanya dia tahu As adalah cinta pertama Eddy dan katanya lagi dia tahu sejarah kami berdua. Untuk apa dia meluahkan ini semua? As rasa berdebar-debar tidak mahu dituduh yang bukan-bukan. As cuba sedaya mungkin tenang mendengar luahan rasanya. Katanya, dia dan Eddy berkahwin atas desakan keluarga mereka kerana perjanjian datuk nenek moyang mereka. Dan salah satu sebab kenapa mereka merantau di sini kerana mereka tidak perbuatan mereka dihidu oleh keluarga mereka. Apa yang Ima boleh bayangkan apabila Rina memberikan klu begitu? As hanya mendiamkan diri sahaja sambil menganalisis apa yang diperkatakan oleh Rina. As nampak di muka Rina penderitaan yang ditanggung oleh mereka berdua. Hidup bekeluarga tanpa cinta umpama bunga yang tiada wanginya, seri hanya nampak dimata tetapi tidak dapat memberikan haruman kepada manusia yang lain.
Ima, untuk apa Rina ceritakan semua itu pada As? Apakah motifnya? As masih lagi mencari jawapannya dan ini membuatkan As rasa makin bersalah. Cinta sepatutnya disemai pada pasangan yang halal seperti mereka. Cinta yang belum berputik boleh dicambahkan jika mereka menyemai dan membajainya. Apa yang boleh As nasihatkan mereka berdua, jangan diikut rasa hati, jika itu semua ditakdirkan terimalah seadanya. Dalam hati As ini, bagaikan pecah berlimpangan rasanya tika menuturkan kata-kata itu. Hati As makin hancur sebenarnya. Tipu rasanya jika As katanya tiada sedikit pun rasa gembira cuma As tidak mahu memberikan pengharapan lagi buat sebuah hubungan yang akan memusnahkan hubungan yang lain.
Selang beberapa hari kemudian, As menerima kiriman emel daripada Rina yang menyatakan bahawa mereka berdua cuba memulihkan kesilapan yang mereka lakukan dan mahu menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Dan permintaan yang paling berat untuk As tunaikan apabila Rina mengajak As datang berkunjung ke kediaman mereka. Ima, adakah patut As menerima pelawaan Rina? Untuk apa? Untuk menghiriskan lagi perasaan ini yang mula bercantum sembuh kelukaan ini.
Ima, As akan kembali lewat hujung tahun ini bersama dengan segulung sijil yang diidamkan oleh rakan-rakan kita semua. Semua ini adalah titik perjuangan As disebabkan kegagalan As dalam membina sebuah mahligai impian. As ingin mencurahkan bakti kepada anak didik As nanti.
Ima, tunggulah kepulangan As.
Sekian, terima kasih kerana sudi mendengar cerita As.
No comments:
Post a Comment