Ima,
Sekali lagi izinkan As bercerita pada Ima. As tahu mungkin Ima sedang sibuk melayan karenah anak-anak Ima yang semakin membesar tapi As tahu Ima akan meluangkan masa membaca surat ini.
Ima, bukan As tidak mahu mencari pengganti dan merancang membentuk ikatan kekeluargaan. Ramai yang mengutuk dan mencela As dengan mengatakan bahawa As rela hidup membujang sampai ke akhir hayat. Pernahkah mereka semua bertanya kepada As sebelum melemparkan perkataan yang bukan-bukan pada As? Adilkan sebegitu?
As cuma gentar dan takut pada sebuah perjanjian dan pengharapan. Bukan As tidak yakin dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah cuma As sendiri tidak tahu yang manakah ketentuan daripadaNya. As sememangnya sentiasa terbuka menerima kehadiran lelaki yang boleh menjadi meluruskan tulang rusuk As yang bengkok ini. Tetapi mungkin belum sampai masanya lagi, setiap kali ingin diperkenalkan ada sahaja halangan yang mendatang.
Sekiranya ditakdirkan As tidak memiliki cinta manusia, biarlah As abadikan cinta As ini pada pencipta Kita. As ingin serahkan hati ini hanya padaNya sahaja. Sekiranya dalam perjalanan ini As diketemukan dengan seseorang yang boleh membawa As ke jalan yang lurus dan mendambakan cintaNya, As akan menerimanya dengan baik. As bukan memilih tetapi dalam masa yang sama As berpendapat bahawa As berhak memilih untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Ima, As rasa Imalah yang sentiasa memahami perasaan As. Dan As harap Ima sentiasa menyokong perjuangan hidup ini.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment