Ima,
Mesti Ima teruja membaca sajak nukilan Gibran kepada As. Jika Ima
teruja, keterujaan As tidak dapat digambarkan lagi. Betapa indahnya hari
pertama kami menyulam kasih dengan bisikan puisi ini dibacakan oleh penulisnya.
As tersenyum malu apabila Gibran usai melafazkan puisi ini sebagai pembuka kata
kami.
Pertamanya As ingin ucapkan terima kasih atas kesudian Ima datang
meraikan hari bahagia As bersama belahan jiwa As. Maafkan As jika layanan yang
kurang menyenangkan maklumlah hati para tetatmu semua perlulah dijaga.
Bayangkan dalam masa tiga bulan selepas majlis pertunangan kami berjaya
menyiapkan segala-galanya secara ringkas. As panjatkan kesyukuran pada Allah
SWT kerana mengizinkan kami disatukan dan memberkati majlis kami berdua.
As melihat lakaran kegembiraan di hati kedua ibubapa As pada hari
bahagia kami. Ramai juga saudara mara yang datang berkunjung memeriahkan hari
kami, ingin melihat siapakah yang dapat mencuri hati As ini. Keluarga As yang
lain turut memanjatkan kesyukuran kerana katanya akhirnya As terbuka hati untuk
mendirikan masjid. Sangkanya As mahu sendirian.
Kedua, As juga rasa gembira dengan kehadiran Ima dan bantuan yang Ima
telah hulurkan selama ini. Saat ini As masih mengenangkan kata-kata Ima yang
telah Ima bekalkan kepada As bagi menghadapi alam rumahtangga ini. As bangga
mempunyai kawan seperti Ima. Sebab itu As pernah menangis tika Ima
diijabkabulkan dengan suami Ima, Ruhaimi. As rasa As bagaikan hilang tempat
mengadu namun semua itu salah. As rasa gembira kerana suami Ima memahami
situasi kita dan tidak pernah menghalang perhubungan kita. Walaupun Ima sibuk
menguruskan rumahtangga dan anak-anak namun Ima tetap melayani karenah As
bagaikan As ini anak yang memerlukan perhatian.
As amat terharu.
Ima,
Gibran telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menjadi imam As.
Kami sama-sama melaksanakan solat sunat kesyukuran kerana menghadiakan kami
kebahagiaan yang kami cari selama ini. Gibran
juga memimpin As dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. As rasa
teruja untuk melahirkan anak-anak yang soleh untuknya.
Ima, selepas usai majlis perkahwinan kami di kedua-dua belah pihak,
kami kembali menjalani rutin harian kami. Kerja berlambak menanti dipejabat
menyebabkan kami menangguhkan dulu bulan madu kami. Rancangnya kami mahu ke
Maldives namun hajat itu terpaksa kami tangguhkan dulu. Sudah masuk dua purnama
kami menyulam kasih dan sayang bersama, akhirnya khabar gembira diutuskan untuk
kami. Gibranlah orang pertama yang memeluk As apabila mengetahui khabar itu.
Kami pun tidak sangka begitu cepat tetapi kami sememangnya ingin benar
cepat-cepat menimang cahaya mata memandangkan usia kami sudah melebihi 30an.
Syukur kami panjatkan.
Ima….sejak akhir-akhir ini As cepat benar letih mungkin pembawaan
budak rasanya. Nanti kita sambung di lain kali.
No comments:
Post a Comment