Sunday, 19 January 2014

Rasa hati



Ketika aku melangkah pergi jauh dari dirimu, semakin laju kau mengejar diri ini. Sudah ku titipkan pesan buatmu, usah lagi berlari mendapatkanku walau bayangku jua namun kau tetap enggan menyerah kalah. Katamu, aku tetap menjadi pujaanmu. Jangan kau lupa, sudah ku berikan amaran tentang tingkahmu yang akan melukakan hati banyak pihak. Dan kemungkinan besar apa yang kau citakan takkan dapat digapai. Banyak halangan dalam melihat penyatuan kita dan kemungkinan besar ia juga mustahil berlaku. Biarlah kita abadikan rasa cinta kita berdua dan lakarkan dalam sejarah semalam.
Saat untuk kita kenangkan kemanisan itu akan datang cuma ia amat memedihkan untuk kita terus meratapi detik itu. Saat kita berjauhan jua membawa derita kita bersama dan ia lebih baik untuk orang sekeliling kita. Biarlah kita berdua yang merasai kedukaan itu. Cukuplah apa yang kita rasainya dan biarlah rasa itu hapus sedikit demi sedikit. Jangan kau kesali untuk terus melangkah tanpa aku di sisi.
Belajarlah mendepani hidup dengan warna pelangi tengahari yang kau cipta. Jangan kau renungi lagi rembulan petang dan usah kau harapkan pelangi petang mendatangimu lagi. Aku tetap akan berjalan ke depan tanpa menoleh lagi. Dan aku telah pilih jalan ini, jalan ke kiri sedangkan kau terus melangkah menuju ke depan, lurus ke depan. Tiada simpang untuk kita berpatah balik dan usahlah berusaha untuk menjemputku walau dalam mimpiku, aku tidak akan hadir lagi.
Tika ini aku mengirimkan doa agar kau bahagia dengan pilihan keluargamu dan kau terima takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita hanya mampu merancang sedangkan kita lupa kita perlu meminta dari Pencipta kita. Sejarah silam perlu kita padamkan dan kita buka lembaran baru untuk kita terus dilukai. Tepislah segala memori yang adakalanya mahu singgah di minda ini. Kuatkan dirimu itu kerana aku tahu kau seorang yang tabah dalam mendepani cabaran dan dugaan mendatang.
Aku cuba mencuri menoleh ke belakang dan aku Nampak kau terus kaku di situ bagaikan kebingungan memilih arah hidup yang penuh kabus. Ingin aku berlari mendapatkan mu tapi kakiku bagai di paku dan aku hanya mampu memandang lemah terhadapmu.  
Jika kau mahu aku bahagia, lepaskan aku perlahan-lahan dan walau kau tidak bisa mengucap selamat tinggal tapi tepislah segala kenangan yang menjalar dalam minda itu. Berilah aku secebis rasa bahagia itu, ingin aku hirup ia. Aku jua mahu warnai lukisan kehidupan ini dengan cahaya rembulan malam bersama bintang yang mengilap terang. Aku tidak mahu lagi dipenjara sepi di sini sambil memandang angin kabut bersama hujan pagi. Bawalah aku pergi jauh dari hidupmu kerana kau dan aku tahu yang kita tidak mampu membina istana impian bersama.
Pada hari ini aku telah tekadkan bahawa aku melangkah keseorangan mengulangi sejarah dulu, melewati batasan hari sendirian. Tiada lagi orang yang akan ku kongsikan cerita tentang suka duka hidup ini. Tiada lagi penawar pagi untuk ku sirami buat bekalan harian ku. Aku menangis lagi meratapi hidup ini yang benar-benar menguji ku tika aku sedang mengecapi manisnya hidup ini.
Kesedihan itu harga yang paling mahal untuk kubayar kerana aku tidak pernah menjangkakan ini semua. Kebahagiaan yang dirampas membuatkan aku nanar mencari diriku dalam cermin itu. Saat cinta kita dilafazkan adalah saat yang paling indah untuk kita kenangkan bersama. Saat itu aku bagaikan kita berada di dalam syurga menikmati segala keindahan, kebahagiaan dan kegembiraan bersama. Dan kita lupa yang kita hanya merancang tanpa meminta keizinan dari Pencipta kita. Kita alpa dan lalai…..
Percayalah ….takdir kita berlainan dan kita harus pilih jalan yang berlainan. Jangan kita bersedih lagi,depanilah ia, harungilah ia….kerana kita tidak akan kesali lagi setelah kita harungi bersama sebelum ini. Harapan kita telah lama pecah berderai dan marilah kita semat harapan baru bersama pasangan masing-masing. Mahukah kita kecewakan perasaan orang yang kita sayangi?
Kalimah yang mengatakan cinta pasti bersatu adalah dusta, kita terperangkap dalam ajaibnya cinta itu. Adakah kita terkena sumpahan cinta?




No comments:

Post a Comment