Tuesday, 7 January 2014

Meniti hari

Ima,
Sememangnya As jangkakan bahawa pertanyaan Ima akan bertalu-talu. Terima kasih Ima kerana menjadi pendengar setia As selama ini. Ima tidak pernah jemu mendengar cerita As walaupun ramai di luar sana menuduh As sengaja membesar-besarkan cerita. Mereka tidak faham bagaimana peritnya perjalanan hidup As ini.

Ima,
As rasa Ima pernah kenal Gibran. Dia pernah sama-sama mengambil satu subjek yang sama dengan kita, subjek kegemaran Ima, Ekonomi Malaysia. Dia bukan daripada fakulti kita tetapi dari fakulti kejiranan kita. Dia sebenarnya ingin berkenalan dengan rakan kita yang paling glamour. Siapa lagi kalau bukan Hafizah yang menjadi rebutan ramai. Malangnya Hafizah tidak pernah mahu melayannya dan memberikan baton itu kepada As. Tujuan utama As hanya mahu mempermainkan dia memandangkan As nampak dia terlalu lurus. Di situ detik perkenalan kami.

Ima,
Selepas Gibran tahu bahawa As yang selalu membalas emel itu, terus dia ajak As bersemukak dengan dia. As gentar pada mulanya tapi As memberanikan diri mengajak Intan dan Suzi menemani As. As menadah telinga apa yang dibebelkan olehnya, tentang kejujuran dan perasaan yang telah dimainkan. As masih menganggap ketidakseriusan tentang perasaannya, As lupa bahawa suatu hari nanti As pasti mendapat balasannya.

Ima,
As ingat Gibran tidak pernah kenal perkataan maaf untuk As, namun Gibran terus menghantar emel kepada As, menyokong As dalam aktiviti yang As selalu sertai dan mendokong perjuangan As sertai. Kata-kata semangat yang dihulurkan adakalanya membangkit semangat As namun tiada ruang dia di hati As kerana Ima telah maklumkah bahawa Eddy telah bertapak di hati ini. As lupa yang As sengaja bermain dengan api, meniupnya perlahan sehingga api itu menjadi besar dan memarakkannya.

Ima,
Suati hari Gibran nampak kami berdua, Eddy dan As sedang berbincang tentang masa depan kami. Gibran dengan berani datang menyapa kami berdua. Tanpa berlengah Eddy memperkenalkan dirirnya teman istimewa As. As nampak muka Gibran berubah dan cepat-cepat dia meminta diri. Eddy bertalu-talu menanyakan tentang hubungan antara As dan Gibran kerana dia pernah mendengar khabar-khabar angin yang bertiup.

Ima,
Selepas beberapa lama kami tidak bersua, suatu hari As terpapasan dengan Gibran di kafeteria Perdana. As seperti biasa menegurnya dan melemparkan senyuman namun sapaan As tidak mendapat balasan. As terkesima, salahkah apa yang telah As lakukan selama ini. Adakah As pernah memberikan harapan padanya? As cuba meneliti kembali apa yang telah As lakukan selama ini? As membiarkan sahaja dia berlalu pergi.

Ima,
Nanti kita sambung kembali. Ada kerja yang perlu disudahi dan sengaja As tinggalkan begini supaya Ima teruja mendengar ceritanya lagi.

No comments:

Post a Comment