“Puan nampak cantik hari ni,” puji Arif ketika Puan Asyirah
mengumumkan gred kerja kursus mata pelajaran umum Tamadun Islam Tamadun Asia.
Senyum Puan Asyirah menerima pujian tersebut sambil membelek
gred Arif. Patutlah puji, dia dapat rendah sahaja, mesti ada sesuatu yang dia
akan minta, terdetik hati Puan Asyirah.
“Puan, boleh bantu saya tak?” Arif bersuara selepas rakannya
Chew berlalu pergi dengan wajah kecewa.
“Apa yang saya boleh bantu Arif?” Tanya Puan Asyirah lembut.
“Saya mahu gred keseluruhan sekurang-kurangnya A-,” terus
terang Arif menyatakan tujuannya.
“Boleh Puan bagi apa-apa kerja yang lain sebagai ganti,
supaya saya boleh mendapat sekurang-kurangnya B+ dalam kerja kursus ini,” desak
Arif tanpa malu.
“Beginilah Arif, apa usaha yang telah awak lakukan sepanjang
berada di dalam kelas saya?” Tanya Puan Asyirah cuba berkompromi dengan
permintaan Arif.
“Saya selalu hadir ke kelas dan saya selalu bagi kerjasama.
Bukan saya selalu datang ke depan membuat pembentangan ,” Arif cuba
menyenaraikan sumbangannya.
“Belum cukup semua itu,” Puan Asyirah menyatakan tanda tidak
setuju.
“Habis tu puan, apa yang patut saya lakukan,” nada yang
telah menurun, sedih menguasai diri.
“Usaha memang kena ada, apabila tugasan yang diberikan
kenalah buat mengikut panduan yang telah diberikan. Apabila ahli kumpulan
bermasalah, awak selaku ketua haruslah membuat keputusan dan cuba menyelesaikan
masalah tersebut.” Puan Asyirah berhujah lanjut menyatakan sebab mengapa gred
kerja kursusnya agak rendah berbanding kumpulan lain.
“Saya bernasib malang kerana berkumpulan dengan mereka,”
terbit kekesalan di hatinya.
“Itu adalah ujian, begitulah kehidupan kita di luar sana,
pelbagai lagi ragam manusia yang awak tidak akan jangkakan. Sebab itu awak
perlu kreatif dan perlu cepat bertindak dalam sesuatu situasi. Awak kena
mainkan peranan sebagai ketua dalam kumpulan ini. Kadang kala kena rela
berkorban dengan ahli kumpulan dan ajarlah mereka semua,” penuh nasihat Puan
Asyirah mengiringi perpisahan mereka.
“Baik puan. Saya akan usaha sungguh-sungguh dalam
peperiksaan akhir nanti,” janji Arif lemah.

No comments:
Post a Comment